24 Jam Teliti Semula Perlembagaan KOM - Pesuruhjaya Sukan

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan memerlukan sekurang-kurangnya 24 jam untuk meneliti semula perlembagaan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memastikan ia teratur dan tiada kekeliruan.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh berkata pihaknya akan mencadangkan kepada KOM jika terdapat sebarang pindaan yang perlu dilakukan dan terpulang kepadanya untuk memperkemaskan perlembagaannya menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

"Kita akan mencadangkan, terpulang pada KOM untuk memastikan perlembagaan itu teratur menerusi penganjuran EGM. "Ini kerana ia melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa mereka, jika ada apa-apa percanggahan (dalam perlembagaan itu) akan menyebabkan mereka yang kalah tidak berpuas hati," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Pagi tadi, Naib Presiden KOM Datuk R.Annamalai menyerahkan dokumen perlembagaan kesatuan itu kepada Mohd Yassin bagi dikaji semula.

Ini berikutan kekeliruan yang timbul pada mesyuarat KOM Sabtu lepas setelah pegawai penyelaras pemilihan jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), T.Kumar, mengesan percanggahan klausa antara pindaan lama dan baharu perlembagaan badan induk itu.

Kekeliruan itu juga menyebabkan pengumuman calon bertanding pada pemilihan AGM yang dijadual Ahad ini, terpaksa ditunda.

Pengumuman calon dijangka dibuat petang esok sekiranya tiada sebarang pindaan perlembagaan perlu dilakukan.

Jika terdapat sebarang pindaan, KOM dikehendaki menganjurkan EGM dengan memberi notis 14 hari kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan