Pembukaan Sampul Pencalonan AGM KOM Ditangguh Sekali Lagi

Diterbitkan: Ahad, 16 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemelut dan teka-teki dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tentang calon yang bakal bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden berterusan apabila pembukaan sampul pencalonan yang dijadualkan dibuat pada Sabtu sekali lagi ditangguhkan.

Keputusan dibuat selepas Pegawai Pemilihan Jawatankuasa, Kumar Thangaraju mendapati terdapat beberapa klausa dalam Perlembagaan berkaitan pemilihan jawatankuasa yang tidak jelas terutama dalam klausa yang telah dipinda.

Kumar mendakwa, dalam salinan asal cetakan Perlembagaan yang diberikan kepadanya, terdapat klausa asal yang telah dipinda tetapi tidak dipadam atau dibatalkan sehingga menyebabkan ia boleh dipertikaikan.

"Sebagai orang yang dilantik dan diberikan tugas, saya terpaksa tangguhkan pemilihan agar pemilihan tidak dicabar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 24 September ini.

"Sampul pencalonan tidak boleh saya buka kerana saya tidak tahu yang mana satu (klausa) yang patut saya ikut dalam membuat pemilihan secara sah," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini, Sabtu.

KOM sebelum ini memberitahu pihak media bahawa sidang media ini diadakan bagi mengumumkan calon-calon yang akan bertanding dengan membuka sampul pencalonan.

Sebelum ini pengumuman calon bertanding turut ditangguhkan kerana tidak dihadiri Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas lanjut, Kumar yang dilantik sebagai pihak berkecuali berkata, pertindanan dan percanggahan klausa Perlembagaan paling ketara dilihat pada klausa 8.4.4 (asal) dan 8.7.6 (pindaan).

Katanya, klausa 8.4.4 yang telah dipinda pada asalnya memperuntukkan tentang cara dan proses pemilihan calon jawatankuasa secara menyeluruh.

"Manakala klausa 8.7.6 lebih menjurus kepada tempoh jawatan yang dipegang dalam kesatuan," katanya.

Jelasnya, sekiranya sampul pencalonan tetap dibuka dan nama calon bertanding diumum seperti yang dijanjikan, pemilihan adalah tidak sah berdasarkan undang-undang dan akan dicabar dalam AGM.

"Klausa 8.4.4 kekal dan masih wujud (dalam Perlembagaan) dan dalam masa yang sama terdapat juga kolum yang menyatakan ia telah dipinda.

"Jika saya buka sampul pencalonan hari ini mungkin terdapat calon-calon terlibat terpaksa disingkirkan kerana pencalonan mereka tidak sah sama ada mengikut klausa asal atau yang telah dipinda...saya sendiri tidak tahu mereka membuat pencalonan berdasarkan klausa yang mana.

"Penangguhan perlu dibuat untuk berlaku adil kepada semua calon," katanya yang tidak pasti sama ada perkara ini berlaku secara sengaja atau sebaliknya.

Namun, beliau berkata perkara ini dapat diselesaikan dengan adanya penjelasan dan pengesahan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Beliau juga akan memberi penerangan bertulis kepada Pesuruhjaya Sukan tentang penolakan sementara pencalonan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar badan induk ini mengadakan AGM membincangkan perkara ini seterusnya mengemukakan pencalonan baru.

Sementara itu, Naib Presiden KOM Datuk Annamalai Ramasamy yang turut hadir pada sidang media menyatakan kekesalan terhadap apa yang berlaku.

Katanya, pihaknya akan merujuk dengan Pesuruhjaya Sukan dan mendapatkan penjelasan terperinci pada Selasa mengenai perkara ini.

Tidak menafikan kemungkinan berlaku kesilapan atau terlepas pandang dalam pindaan yang dibuat, beliau berharap calon-calon bertanding dapat diumumkan secepat mungkin.

"Perlembagaan lama telah dipinda, cuma ia masih wujud kerana tidak dipadam atau dibatalkan.

"Kita akan minta penjelasan...kalau boleh selesaikan Selasa ini, Rabu sudah boleh buka sampul," katanya.

Jawatan yang menjadi tumpuan dalam AGM kali ini ialah Presiden dan Timbalan Presiden yang ketika ini disandang Datuk Karim Ibrahim.

Karim yang menyandang jawatan itu sejak 2006 berdepan kontroversi berikutan petisyen mendesak beliau melepaskan jawatan yang ditandatangani 16 jurulatih dan 42 atlet olahraga Februari lalu.

Shahidan pula mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden walaupun menghadapi persaingan sengit daripada calon lain untuk merebut jawatan tertinggi itu.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan