Malaysia Perlu Ikut Jejak Budaya Sukan Australia - Shabery

Diterbitkan: Sabtu, 15 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Malaysia perlu meniru budaya sukan Australia untuk meletakkan negara di arena antarabangsa, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pada majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di sini.

Katanya populasi Australia dan Malaysia lebih kurang sama iaitu kira-kira 25 juta, namun Australia sukar ditandingi di pentas dunia dalam acara individu mahupun berpasukan.

"Kita mesti mengikuti contoh Australia bagi membina budaya sukan dan menggalakkan juara-juara berpotensi dari peringkat awal usia," katanya.

Beliau berkata meskipun Malaysia tidak memenangi banyak pingat dalam Olimpik London, namun ramai anak muda Malaysia menunjukkan bahawa mereka boleh bersaing dalam kalangan terbaik.

"Tapi kita masih jauh untuk mencapai standard yang ditetapkan Australia, Britain, Amerika Syarikat and negara kecil, New Zealand.

"New Zealand dengan populasi hanya 4 juta, tidak silap saya memenangi tiga pingat emas dan beberapa pingat lain," kata Shabery sambil menambah, negara komunis menyifatkan sukan sebagai usaha berdepan dengan peperangan.

"Budaya sukan mereka berbeza dan mungkin sukar untuk diikuti," katanya.

Keputusan sukan juga bergantung, katanya, kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara.

"Lebih banyak sesebuah negara itu boleh membantu bidang sukan, lebih baik altetnya dapat beraksi," kata Shabery.

Menteri berkenaan berucap pada perhimpunan 300 pelajar Malaysia, pemimpin komuniti termasuk Konsul Jeneral di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya pada majlis anjuran Kelab Umno sempena Aidilfitri bertempat di Konsulat Malaysia di St Kilda Road. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan