Sukan Paralimpik: Ziyad Tidak Sabar Untuk Beraksi

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Atlet elit olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sudah tidak sabar untuk turun ke gelanggang beraksi buat julung kalinya dalam temasya Sukan Paralimpik.

"Setiap kali rakan-rakan saya turun padang, saya mesti pergi ke stadium untuk menyokong mereka. Saya suka suasana dalam stadium itu (Olympic Stadium).

"Beribu-ribu orang datang dan beri sokongan kepada atlet. Saya sangat suka kerana saya tahu saya juga akan diberi sokongan yang sama daripada penonton. Ia akan membantu saya memberi persembahan terbaik," katanya kepada Bernama.

Atlet berusia 22 tahun dari Gombak, Selangor itu akan turun ke gelanggang esok untuk acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran-ID).

Mengenai persediaan beliau, Muhammad Ziyad berkata selepas dua minggu berada di sini, prestasinya semakin konsisten.

"Jika semasa latihan di Malaysia dulu saya kata saya sudah 80 peratus bersedia, di sini saya sudah 97 peratus bersedia dan akan memberi sepenuhnya pada hari pertandingan," katanya.

Menurut Mohd Ziyad, yang membuat penampilan pertamanya di temasya Sukan Olimpik, semasa menjalani latihan di sini beliau pernah melakukan lontaran yang lebih baik daripada pencapaian peribadi terbaiknya.

"Saya mahu menang pingat untuk Malaysia, tidak kira warna apa. Saya mahu berada di atas podium," katanya.

Muhammad Ziyad melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik London selepas meraih pingat perak di Kejohanan FID IWAS di Itali, tahun lepas dengan catatan jarak 13.67 meter. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan