Skuad Memanah Gagal Mara Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Skuad memanah paralimpik negara gagal mara ke suku akhir acara recurve berpasukan terbuka lelaki pada Sukan Paralimpik London di sini, apabila tumpas di pusingan pertama.

Dalam acara yang berlangsung di Royal Artillery Barrack pada Selasa, Malaysia kalah kepada Turki 190-197.

"Sepatutnya kita boleh menumpaskan Turki selepas set ketiga apabila kita mendahului mereka dengan dua mata (145-143).

"Pada set keempat dan terakhir, Hasihin (Sanawi) mengalami masalah dengan anak panah dan pelancarnya. Fokus dia terganggu sedikit dan ini memberi kelebihan kepada Turki," kata jurulatih skuad memanah paralimpik negara, Amirullah Ahmad.

Beliau berkata pasukan negara yang turut terdiri daripada Zulkifli Mat Zain dan Mohd Zafi Rahman Mat Salleh, telah memberikan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Atlet kita hari ini telah memberikan saingan terbaik mereka dalam acara berpasukan. Pada Sukan Paralimpik sebelum ini, kita tidak pernah layak dalam acara berpasukan," katanya.

Beliau berkata sejak Malaysia pertama kali menghantar atlet di Sukan Paralimpik 2004 di Athens, Greece, pemanah negara hanya melayakkan diri dalam acara individu.

Secara keseluruhan, Amirullah berkata penampilan di Sukan Paralimpik London adalah yang terbaik buat skuad memanah elit paralimpik negara.

"Penyertaan dalam acara berpasukan Sukan Paralimpik London adalah satu pendedahan yang baik kepada semua pemanah.

"Pencapaian pingat perak oleh Hasihin semalam adalah yang terbaik kami. Sebelum ini di Beijing, kita sekadar layak ke peringkat suku akhir sahaja," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan