Menang Pingat Perak, Hasinin Wira Negara - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Rabu, 5 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan atlet paralimpik Hasihin Sanawi sebagai wira negara dan mengucapkan syabas kepada beliau kerana memenangi pingat perak di Sukan Paralimpik London.

Beliau cukup berbangga atas kejayaan atlet kurang upaya (OKU) Malaysia ini yang berjaya meraih pingat dalam acara memanah recurve pada Isnin dan mahu kontinjen negara melipatgandakan usaha memperoleh tambahan pingat.

"Syabas kepada Hasihin, saya cukup berbangga di atas kejayaan beliau dan pasti ia menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Minggu Mesra Siswa pelajar baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, Selasa.

Hasihin hanya kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan setelah terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir acara recurve individu lelaki di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

Ahmad Shabery berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan prestasi atlet OKU negara dalam sukan paralimpik kerana pada kejohanan di Beijing dahulu, Malaysia hanya menang pingat gangsa.

Menteri itu berkata pihak kementerian akan menyambut kepulangan Hasihin sebagai wira kerana mengharumkan nama negara.

Ditanya mengenai insentif tambahan yang akan diberi kepada atlet paralimpik yang berjaya membawa pulang pingat di temasya sukan itu, Ahmad Shabery berkata beliau akan membincangkannya di peringkat Kabinet.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pusat latihan paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur akan mula beroperasi akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan.

"Ia sepatutnya siap November lepas, tetapi mempunyai sedikit kelewatan berpunca soal cuaca dan masalah teknikal. Apabila siap nanti, pusat latihan paralimpik itu akan menjadi satu daripada fasiliti yang terbaik di Asia Tenggara," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan