Faktor Usia Bukan Penghalang Mariappan Di Sukan Paralimpik

Diterbitkan: Ahad, 2 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Atlet senior skuad powerlifting negara P. Mariappan mengulangi sekali lagi hasratnya untuk terus memberikan saingan yang terbaik di temasya Sukan Paralimpik London.

Mariappan, 54, yang bakal membuat penampilan ketujuh dalam acara powerlifting pada temasya tersebut dalam kategori bawah 75 kilogram berkata selain cuba untuk memberi saingan yang terbaik, beliau juga ingin membuktikan bahawa usia bukan faktor penghalang.

Beliau mengakui saingan pada temasya kali ini amat sengit kerana kebanyakan peserta berusia jauh lebih muda daripadanya dan mempunyai rekod pencapaian yang tersendiri. "Saya tahu saingan dalam Sukan Paralimpik amat sengit, tapi saya akan cuba untuk meraih pingat untuk Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Ahad.

Menurut Mariappan, beliau akan mencuba untuk membuat angkatan seberat 190kg, 10kg lebih baik daripada jumlah yang dilakukannya pada edisi lepas di Beijing, China, pada 2008. Beliau telah mewakili negara pada temasya Paralimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1988; Barcelona, Sepanyol (1992); Atlanta, Amerika Syarikat (1996); Sydney, Australia (2000), Athens, Greece (2004) dan Beijing, China (2008).

Daripada enam penampilan beliau sebelum ini di temasya sukan terbesar bagi atlet kelainan upaya itu, Mariappan berjaya meraih dua pingat gangsa pada temasya di Seoul dan Barcelona.

Mariappan akan membawa saingan Malaysia dalam acara 75kg lelaki yang akan berlangsung esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan