Prestasi Paralimpik: Pemanah Negara Terjejas Ekoran Hujan Lebat

Diterbitkan: Jumaat, 31 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Atlet negara gagal menampilkan aksi terpuji dalam pusingan penentuan ranking acara memanah Sukan Paralimpik London 2012 berikutan keadaan hujan lebat disusuli angin kencang di sini, pada Khamis.

Selepas menamatkan dua pusingan penentuan ranking di Royal Artillery Barracks, dekat sini, Zulkifli Mat Zain menduduki tempat ke-16 dengan 572 mata, manakala Hasihin Sanawi dan Mohd Zafi Rahman Mat Salleh, masing-masing di tempat ke-19 (559) dan 24 (481).

"Pada pusingan penentuan ranking hari ini, prestasi pemanah agak menurun berbanding ketika menjalani latihan di sini sebelum ini.

"Hujan lebat menyebabkan keadaan cuaca menjadi amat sejuk, tambahan pula angin bertiup agak kencang. Ini menyebabkan prestasi atlet kita tidak konsisten," kata jurulatih skuad memanah negara, Amirullah Ahmad kepada Bernama.

Pemanah Taiwan, Tseng Lung Hui berjaya mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik selepas mengumpul 650 mata, memadamkan rekod yang dipegang Lee Hong Gu dari Korea Selatan iaitu 636 mata yang dilakukan di Sukan Paralimpik Sydney pada 2000.

"Saya harap pada pusingan penyingkiran esok, mereka akan lebih konsisten. Saya juga harap cuaca akan lebih baik esok," kata Amirullah.

Pada pusingan penyingkiran, Mohd Zafi Rahman akan berdepan pemanah tuan rumah Paul Browne, manakala Zulkifli akan bertemu Mustafa Demir dari Turki.

Sementara, Hasihin akan menentang pemanah Korea Selatan, You In Sik.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan