Mumtaz Berhasrat Pertahan Jawatan Naib Presiden

Diterbitkan: Isnin, 27 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar membayangkan hasrat mempertahankan jawatan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada mesyuarat agung tahunan kesatuan (AGM) itu, 23 September ini.

Olahragawati negara era 80-an itu berkata hasrat mempertahankan jawatan yang dipegang beliau sejak 2006 kerana mahu membantu KOM meneruskan kesinambungan program pembangunan sukan olahraga negara.

"Insya-Allah, jika ada yang mencalonkan nama saya, maka saya akan bertanding namun sekiranya tiada, saya akan menarik diri.

"Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana individu termasuk kepimpinan baru sekiranya terpilih kelak," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berhasrat mempertahankan jawatannya kerana mahu menyelesaikan beberapa kemelut dalaman yang melanda badan induk olahraga negara itu.

Mumtaz, anak jati Nilai yakin pengalaman luas beliau selaku atlet dan jurulatih, serta pernah memegang jawatan dalam beberapa persatuan sukan di peringkat negeri merupakan kelebihan untuk beliau terus menyumbang ke arah pembangunan KOM dan sukan olahraga khususnya.

"Sebelum ini, saya pernah melatih (bekas pelari pecut negara) Watson Nyambek ke Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 (menerusi tiket kuota) selain membawa beliau menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Seville (Sepanyol) pada 1999.

"Saya yakin dengan segala pengalaman sedia ada sebelum ini akan membantu saya untuk memantapkan pentadbiran dalam KOM itu sendiri," katanya.

KOM menetapkan 10 September sebagai tarikh akhir penghantaran nama calon-calon bertanding.

Selain jawatan presiden, mesyuarat AGM KOM kali ini turut mempertandingkan empat jawatan naib presiden untuk penggal 2013-2015.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan