Sazali Tekad Rampas Mahkota 'Mr Asia' Di China September Depan

Diterbitkan: Sabtu, 25 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mempertahan mahkota 'Mr Asia' tahun lepas, jaguh bina badan negara Sazali Abdul Samad bertekad merampas gelaran tersebut daripada penyandang juara iaitu Yousef Karimi dari Iran pada Kejohanan Bina Badan Asia ke-46, bermula 19 hingga 24 September ini di Guangzhou, China.

Pegawai polis berpangkat sub-inspektor itu berkata beliau yakin merampas semula gelaran tersebut selepas hanya tewas tipis kepada peserta dari negara Timur Tengah itu pada kejohanan di Thailand, tahun lepas.

Sazali, 45, memenangi gelaran 'Mr Asia' tujuh kali iaitu pada tahun 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009 dan 2010.

"Saya lihat kelebihan peserta Iran ini ialah susuk badan yang lebih hebat sehingga pengadil ketika itu memberikan kemenangan kepada beliau (Yousef) tahun lepas... jadi saya bertekad merampas semula gelaran tersebut," katanya.

Mengulas mengenai persediaan merampas gelaran tersebut, Sazali berkata beliau kini giat menjalani latihan intensif di Gimnasium Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya memberi fokus kepada latihan berat pada sebelah pagi manakala sebelah petang, saya akan mengurangkan latihan berbentuk fizikal untuk mengelakkan tubuh badan saya daripada mengalami kecederaan.

"Dari segi pemakanan, saya telah menyediakan jadual pemakanan sendiri selain turut mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Zawawi Zakaria bagi memastikan tubuh badan saya tidak mengalami kenaikan mendadak," katanya.

Sazali berkata selepas berakhirnya kejohanan tersebut, beliau akan memberikan tumpuan kepada beberapa kejohanan termasuk Kejohanan 'Mr Universe' dijadualkan berlangsung hujung tahun ini di Thailand.

Untuk rekod, Sazali memenangi enam kali gelaran 'Mr Universe' iaitu pada tahun 2000, 2004, 2006, 2007, 2009 dan 2010. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan