Dedahkan Pemain Muda Berpotensi Ke Kejohanan Antarabangsa - Jalani Sidek

Diterbitkan: Rabu, 22 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mendedahkan bakat-bakat muda yang berpotensi kepada kejohanan bertaraf antarabangsa bermula sekarang sekiranya berhasrat untuk melihat kilauan pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik tercapai.

Ketika membuat gesaan itu, bekas pemain beregu negara Jalani Sidek berkata, badan induk badminton negara itu tidak boleh mengharapkan pemain-pemain lama seperti perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki negara Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong untuk terus mengerah kudrat untuk negara.

"Sebenarnya BAM masih mengharapkan pemain-pemain lama seperti mereka bertiga dan saya tidak nampak usaha BAM untuk mendedahkan pemain-pemain yang berbakat dengan kejohanan yang lebih mencabar di peringkat antarabangsa.

"Seperti yang kita ketahui, sasaran kita pada Sukan Olimpik London (yang berakhir baru baru ini) telah gagal namun yang lebih menyedihkan bagi saya ialah kegagalan beregu kita (Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong) yang hampir meraih pingat gangsa namun mensia-siakan peluang itu," katanya kepada kepada Bernama.

Pada temasya Olimpik yang berakhir baru-baru ini, perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei gagal menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara selepas tumpas kepada musuh tradisinya yang juga pemain nombor satu dunia dari China, Lin Dan dengan keputusan 21-15, 10-21, 19-21 di Wembley Arena.

Lebih mengecewakan apabila Koo dan Tan turut gagal meraih pingat gangsa selepas tewas kepada pilihan utama dari Korea Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dengan keputusan 21-23, 10-21.

Mengulas lanjut, bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 bersama abangnya Mohd Razif Sidek itu, berkata BAM sudah boleh memberikan peluang kepada mereka bertiga untuk memilih haluan sendiri berdasarkan pelbagai kejayaan yang dicipta oleh mereka di pentas badminton antarabangsa.

"Mereka bertiga (Chong Wei dan Koo/Tan) sudah melakar banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, jadi kita lupakan mereka seketika dan mantapkan barisan pelapis mahupun pemain luar (dari negeri) yang berpotensi.

"Walaupun ini (pembangunan bakat-bakat muda) mengambil masa yang panjang seperti lapan tahun atau sepuluh tahun umpamanya tapi yang penting ialah kita mampu melahirkan pemain berkualiti iaitu mampu bersaing di Olimpik," katanya.

Jalani turut membidas sistem kejurulatihan BAM yang dikatakan agak lemah dan tidak bersistematik terutama jurulatih beregu yang silih berganti.

"Kita sentiasa bertukar jurulatih (beregu lelaki) termasuk Rexy Mainaky, Yoo Yong Sung dan ini bukan satu perkara yang sihat.

"Sebagaimana yang kita ketahui, untuk memupuk persefahaman antara pemain dan jurulatih mengambil masa yang sama...walaupun seseorang jurulatih itu bertaraf Olimpik namun jika selalu menukarkan mereka akan menjejaskan persembahan pemain," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan