Mariappan Berazam Perbaharui Rekod Peribadi Pada Paralimpik London

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting lelaki negara P. Mariappan berazam untuk memperbaharui rekod peribadi beliau pada Sukan Paralimpik 2012 London dari 29 Ogos sehingga 9 September ini.

Atlet berusia 52 tahun itu, yang akan membuat penampilan kali ketujuh pada temasya tersebut, mencipta rekod Asia Tenggara dengan angkatan seberat 180kg dalam kategori 67.5kg lelaki di Sukan Paralimpik Beijing 2008.

"Saya bukan sahaja mampu menukar warna pingat yang saya menangi dalam dua edisi lepas (pingat gangsa di Seoul 1988 dan Barcelona 1992) pada temasya kali ini malahan mahu memperbaharui rekod saya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima duit poket berjumlah GB$1,000 (RM4,924) daripada Setiausaha Agung MIC S. Murugesan yang mewakili Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel di sini, Jumaat.

Selain Mariappan, dua lagi atlet paralimpik negara turut menerima jumlah yang sama iaitu atlet lempar cakera E. Hemala Dewi dan ketua jurulatih olahraga paralimpik negara R. Jeganathan.

Mariappan sebelum ini menyertai enam temasya Paralimpik bermula di Seoul, Korea Selatan pada 1988; Barcelona, Sepanyol (1992); Atlanta, Amerika Syarikat (1996); Sydney, Australia (2000); Athens, Greece (2004) dan Beijing, China pada 2008.

Mariappan, yang akan menyertai acara 75kg pada temasya kali ini, berkata beberapa negara Asia iaitu Mesir, Jordan dan Syria bakal memberikan saingan sengit kepadanya berdasarkan persembahan mereka dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

"Saya yakin dengan latihan selama empat tahun selepas berakhirnya temasya sukan paralimpik di Beijing akan membolehkan saya bersaing dengan atlet-atlet dari negara tersebut," katanya.

Mariappan turut tidak menolak kemungkinan untuk menyertai temasya sukan paralimpik akan datang yang bakal diadakan di Rio De Janeiro pada 2016.

"Saya akan terus mewakili negara pada temasya paralimpik akan datang selagi saya masih mempunyai tenaga," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: P. Mariappan , Sukan Paralimpik , London , Beijing

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan