MSN Sifat Misi Malaysia Di London Tetap Berjaya

Diterbitkan: Isnin, 13 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Walaupun hanya meraih sebutir perak dan sebutir gangsa tanpa pingat emas yang diidamkan, Majlis Sukan Negara (MSN) menyifatkan pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik 2012 sebagai satu kejayaan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong berkata walaupun Malaysia menyamai rekod Sukan Olimpik 1996 Atlanta, namun kejayaan ratu terjun negara Pandelela Rinong memecah dominasi badminton sebagai penyumbang pingat mencipta sejarah.

"Memang kita tidak dapat merangkul emas pertama Olimpik tetapi ia bukan satu kegagalan, sebaliknya Malaysia kini tidak lagi terlalu bergantung kepada satu jenis sukan sahaja dan Pandelela telah membuktikannya," katanya.

Pada edisi Atlanta, Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock meraih perak dalam acara beregu lelaki sementara Rashid Sidek mendapat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Di temasya 2012 ini, Datuk Lee Chong Wei meraih perak dari badminton perseorangan lelaki sementara Pandelela mendapat gangsa dalam acara 10m platform individu wanita.

Zolkples berkata MSN akan memberi lebih tumpuan kepada atlet yang kompetitif di temasya ini seperti Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Yu Peang Kean (lawan pedang) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah) dalam program ke Olimpik Brazil pada 2016.

"Mereka amat kompetitif, menunjukkan prestasi dan semangat juang yang tinggi serta masih muda. Masih banyak peluang dan ruang untuk ke podium Olimpik seterusnya," katanya.

Zolkples berkata Indonesia yang tidak pernah gagal meraih sekurang-kurang satu emas daripada acara badminton, sejak sukan ini dipertandingkan pada edisi Barcelona 1992, juga pulang dengan tangan kosong.

MSN, katanya, akan mengkaji dan memperbaiki kelemahan program 'Road to London 2012' bagi memastikan misi mencari emas pertama Malaysia dari temasya sukan terbesar dunia menjadi kenyataan di Brazil pada 2016.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan