Bajet Kecil Halang Malaysia Lahir Atlet Bertaraf Olimpik - MSN

Diterbitkan: Ahad, 12 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Bajet kecil bagi program pembangunan atlet bukan sahaja menghalang Malaysia melahirkan ahli sukan bertaraf dunia tetapi juga bakal kehilangan atlet serta jurulatih yang berwibawa.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata pelaburan terhadap sukan negara tidak semestinya dinilai dari sudut ekonomi sahaja kerana sukan masih belum mampu memberikan pulangan ekonomi.

"Bajet kita masih rendah untuk melahirkan atlet bertaraf Olimpik. Kita juga banyak kehilangan jurulatih yang bagus kerana tidak mampu menandingi tawaran tinggi yang diterima mereka," katanya kepada pemberita Malaysia, di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan beberapa pihak yang mempertikaikan jumlah RM20 juta yang diperuntukkan di bawah program 'Road to London 2012', program bagi mencari emas pertama Malaysia dari temasya Olimpik 2012.

Zolkples berkata bajet RM20 juta itu bukanlah jumlah sebenar kerana peruntukan sebelum ini lebih rendah.

"Bila hoki dan bola sepak dimasukan dalam program tersebut, jumlah itu bertambah sedikit tetapi bila kedua-dua sukan tersebut gagal melepasi kelayakan ke Olimpik dan terkeluar dari program, bajet itu turun semula tetapi kurang dari RM20 juta," katanya.

Malaysia katanya terpaksa mengeluarkan bajet yang besar bagi terus melahirkan atlet bertaraf dunia.

Beliau mengakui MSN banyak memotong bajet terutama yang melibatkan latihan di luar negara kerana perbelanjaan yang besar.

"Kita terpaksa memilih tempat latihan dan jenis sukan yang diberi keutamaan untuk latihan di luar negara," katanya.

Beliau mendedahkan pemain perseorangan badminton negara yang meraih pingat perak dari temasya di sini, Datuk Lee Chong Wei kerap menyindirnya kerana hanya menerima insentif berjumlah RM3,500 sebulan sedangkan pemain tidak ternama di Korea Selatan menerima insentif berjumlah US$10,000 sebulan.

Beliau berkata MSN akan memulakan program baru bagi cabaran Olimpik Brazil pada 2016.

MSN katanya akan mengenal pasti atlet baru yang akan dimasukan dalam program tersebut serta mengekalkan atlet dari London yang masih kompetitif untuk membawa cabaran mencari emas dari edisi Brazil pula.

"Mungkin kita akan kekalkan Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Yu Peang Kean (lawan pedang), Pandelela Rinong Anak Pamg dan Bryan Nickson Lomas (terjun) sebab mereka masih muda lagi dan masih kompetitif.

"Tambahan lagi beberapa atlet sperti Chong Wei mungkin tidak beraksi di Brazil. Jadi kita kena sediakan barisan baru secepat mungkin," katanya.

Antara atlet yang akan dimasukan dalam program ke Brazil ialah dari sukan badminton seperti juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli dan anak kepada bekas ketua jurulatih badminton negara, Misbun Ramdhan Misbun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan