PKBM Harap Tiga Atlet Pelapis Cemerlang Di Kejohanan Trek Remaja Dunia

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu tiga atlet pelapis berbasikal negara menunjukkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand pada 22 hingga 26 Ogos ini.

Timbalan presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata Malek Marcus Mccrone, Muhammad Firdaus Suardi dan Ummi Hamimah Mohamad akan berlepas ke New Zealand Sabtu depan.

"Mereka kini berada di Melbourne, Australia bagi menjalani latihan. Kejohanan ini juga adalah penampilan sulung mereka dan kami (PKBM) berharap mereka mempelajari sesuatu ketika beraksi di sana.

"Saya yakin mereka sudah bersiap sedia untuk menguji tahap kayuhan mereka walaupun tidak dapat bersama-sama keluarga di saat kita di sini menyambut Aidilfitri," katanya ketika dihubungi oleh Bernama di sini, hari ini.

Naim berkata beliau mahu tiga atlet pelapis itu menggunakan peluang dan pengalaman berlatih di Melbourne untuk menghasilkan kejayaan seperti pelumba elit, Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapha.

"Kami tidak letak sasaran tinggi kepada mereka, saya yakin ini adalah peluang mereka untuk menguji prestasi kayuhan dengan pelumba remaja lain yang bertaraf antarabangsa.

"Bagi saya mereka (pelumba) mempunyai personaliti dari aspek fizikal badan yang tegap terutama Malek, jadi saya percaya jika mereka menggunakan pengalaman di sana sebaik-baiknya, mereka akan lebih kompetetif," katanya.

Kejohanan remaja itu akan diadakan di Velodrom ILT, Invercargill, dan dijangka disertai 400 pelumba dari lebih 30 negara.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan