Sukan Olimpik: Jangan Pertikai Pemilihan Noraseela, Hup Wei

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Dua atlet olahraga yang beraksi di Olimpik 2012 melalui tiket 'wild card' dan menampilkan persembahan mengecewakan, Noraseela Mohd Khalid dan Lee Hup Wei mahu isu pemilihan mereka ke temasya itu tidak dipertikaikan.

Menurut Noraseela dan Hup Wei, pemilihan ke temasya sukan terbesar dunia itu dibuat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan mereka menerimanya sebagai satu tanggungjawab.

Noraseela berkata, pada awalnya dia sendiri meragui kemampuan bertanding di temasya itu memandangkan pencapaiannya musim ini tidak membanggakan.

Dalam saringan acara 400 meter berpagar wanita minggu lepas, Noraseela merekodkan 1 minit 16 saat, catatan yang jauh ketinggalan berbanding masa terbaiknya tahun ini iaitu 59.3s manakala catatan peribadi terbaik beliau ialah 56.02s.

"Saya bertanggungjawab dengan apa yang terjadi. Saya tidak gembira dengan persembahan saya. Apa yang terjadi sudah terjadi dan saya tidak boleh mengubah masa. Memang saya tidak gembira.

"Ketika memasuki trek, saya berasa sedikit gementar dan pada masa sama teruja. Saya memang mahu buat terbaik tetapi hari itu bukan hari saya," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 itu.

Di Sukan Asia Guangzhou 2010, Noraseela masih mampu mencatat masa yang agak baik 57.22s sekalipun menduduki tempat kelima.

Noraseela, 32, yang membuat penampilan pertamanya di Olimpik berkata, semua atlet yang bertanding di temasya itu mahukan terbaik namun keputusan yang diperoleh selalunya tidak seperti diharapkan pada hari pertandingan.

Atlet lompat tinggi, Hup Wei pula berkata, persembahan hambarnya berikutan masih menjalani pemulihan berikutan kecederaan pada kakinya.

"Saya memerlukan tempoh selama dua tahun untuk pulih sepenuhnya daripada pembedahan ke atas kecederaan buku lali pada Mac tahun lepas.

"Saya sudah cuba yang terbaik di sini. Saya tahu lompatan saya tidak sebaik catatan terbaik (2.27 meter) sebab saya sebenarnya masih menjalani proses pemulihan. Apa pun saya kira lompatan saya di sini (2.16m) agak baik," katanya.

Pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Hup Wei menduduki tempat ke-32 dengan lompatan 2.20 meter daripada 39 atlet yang bertanding.

Pengurus pasukan olahraga, Datuk R. Annamalai menegaskan beliau sendiri kecewa dengan prestasi yang dipamerkan kedua-dua atlet tersebut kerana gagal mengatasi pencapaian peribadi terbaik mereka.

Beliau berkata, kedua-dua atlet terbabit sepatutnya daripada awal sudah bersedia sepenuhnya untuk acara masing-masing.

"Sepatutnya mereka boleh dapat lebih daripada apa yang dicatatkan. Mereka mesti 100 peratus sedia. Kalau nak menang pingat memang sukar tapi sekurang-kurangnya mereka boleh atasi rekod sendiri.

"Saya berharap apabila pulang nanti mereka dapat meneruskan latihan sebab selepas ini ada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan