TSG Hantar Lima Pelumba Ke Jelajah Jawa Timur - Sukan Ekstra | mStar

TSG Hantar Lima Pelumba Ke Jelajah Jawa Timur

Diterbitkan: Khamis, 9 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG)menamakan lima pelumba bagi menyertai kejohanan Jelajah Jawa Timur selama tiga hari mulai 29 Ogos ini dengan diketuai pelumba sensasi Harris Saleh.

Harris akan dibantu abangnya Mohd Zamri serta tiga pelumba yang sedang meningkat naik iaitu Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirull Fakhruddin Marzuki.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hadi Hassan berkata kejohanan di Surabaya itu dijangka turut disertai pasukan profesional Asia yang lain.

"Kita akan cuba memberikan saingan dan tentangan sengit kepada pasukan lain," katanya.

Beliau berkata pelumba TSG sedang menjalani latihan sepanjang bulan puasa ini bagi menghadapi kejohanan itu.

Sementara itu Hadi berkata TSG telah mengenal pasti dua pelumba Sukma Terengganu untuk diserap ke dalam skuadnya.

"Kedua-dua pelumba berkenaan mungkin akan ditawarkan kontrak dari setahun ke setahun mulai 1 Jan 2013 sekiranya mereka dapat membuktikan kebolehan mereka semasa latihan.

"Buat masa ini, nama kedua-dua pelumba itu belum boleh diumumkan kerana sedang dalam proses menandatangani kontrak," katanya.-BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan