Sukan Olimpik: Khairul Anuar Tersingkir Di Suku Akhir

Diterbitkan: Sabtu, 4 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Impian Khairul Anuar Mohamad untuk melakarkan sejarah sebagai pemanah pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik tidak kesampaian apabila disekat oleh pemain Jepun Takaharu Furukawa pada saingan suku akhir acara Recurve individu di sini, malam Jumaat.

Angin kencang di Padang Kriket Lord di sini menyebabkan konsentrasi Khairul Anuar terjejas sebelum tumpas 2-6 kepada lawannya yang sudah beraksi sebanyak tiga kali dalam Sukan Olimpik.

Anak kelahiran Terengganu itu gagal mempamerkan bidikan konsisten seperti sebelum ini apabila mencatatkan 27-26 pada percubaan pertama sebelum mencipta catatan 24-25, 27-21, 26-28 untuk mata muktamad 2-6.

Takaharu diisytiharkan pememang sebaik sahaja mencapai enam mata.

Walaupun pemanah negara pulang dengan tangan kosong tetapi Khairul Anuar, yang memiliki ranking ke-20 dunia, telah menyamai pencapaian rakan sepasukan Cheng Chu Sian yang tersingkir pada peringkat suku akhir di Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Mengikut peraturan terbaru Persekutuan Memanah Antarabangsa (FITA), pemenang bukan sahaja diputuskan dengan bilangan anak panah dan mata tetapi pemenang akan diberi tambahan dua mata pada setiap lima percubaan.

Pemanah pertama mencapai enam mata akan diumumkan sebagai pemenang.

"Sering kali, saya terpaksa membetulkan anak panah sama juga dengan pemanah Jepun itu. Saya rasa ada sesuatu tidak kena dengan bidikan hari ini," kata Khairul Anuar yang mengakui faktor angin kencang mengganggu tumpuannya.

Pada saingan penyingkiran sebelum ini, Khairul Anuar menumpaskan pemanah Britain Larry Godfrey 6-5 selepas terikat 136 mata selepas lima percubaan.

Manakala Takaharu mara ke suku akhir selepas mengalahkan Baard Nesteng dari Norway 6-2. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan