Sukan Paralimpik: Ziyad Teruja Bawa Jalur Gemilang Di London

Diterbitkan: Khamis, 26 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tidak pernah terlintas di hati Mohammad Ziyad Zolkefli untuk menerima penghormatan besar sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya terbesar atlet kelainan upaya iaitu Sukan Paralimpik London yang bermula 29 Ogos ini.

Pemilihan Mohammad Ziyad dibuat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

"Saya memang tidak percaya bila dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Paralimpik London. Tidak ada kata-kata yang boleh gambarkan perasaan saya.

"Peluang ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik di sana dan meraih pingat... tidak kira pingat apa untuk Malaysia. Kalau boleh pingat emas pertama," kata Mohammad Ziyad.

Pemuda berusia 22 tahun dari Gombak, Selangor itu lebih teruja kerana penghormatan oleh negara kepadanya itu diberikan pada penampilan pertamanya di temasya Sukan Paralimpik.

Mohammad Ziyad akan membawa cabaran negara dalam acara lontar peluru F20 (kategori cacat intelektual).

Beliau layak secara merit ke Sukan Paralimpik London selepas berjaya meraih pingat perak acara berkenaan di Kejohanan Dunia di Itali tahun lepas.

"Saya mahu memperbaiki catatan terbaik peribadi iaitu 14.51m dan kalau boleh saya mahu menyamai rekod dunia sekarang iaitu 15.15m yang dipegang oleh atlet Sweden," katanya.

"Semasa Ramadan ini, program latihan di MSN diteruskan seperti biasa, cuma jadual masa berubah sedikit," kata Mohammad Ziyad yang memenangi dua pingat emas dan satu perak pada temasya Sukan Para Asean di Solo, Indonesia tahun lepas.

Menurut Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrusahar Yusuf atlet muda itu adalah harapan Malaysia untuk meraih pingat di temasya sukan berkenaan berdasarkan ranking dunia.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan