Skuad Terjun, Suryani Optimis Bawa Pulang Pingat Di Olimpik

Diterbitkan: Isnin, 23 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Skuad terjun dan penembak wanita Suryani Mohamed Taibi optimis membawa pulang pingat buat negara meskipun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran di temasya Sukan Olimpik, London nanti.

Walaupun, skuad terjun dikejutkan dengan barisan panel juri yang sebahagian besarnya didominasi pegawai dari Eropah, Pandelela Rinong berkata skuad perlu mengelak daripada membuat kesilapan kecil di peringkat saringan.

Merujuk kepada senarai lengkap barisan juri yang diperolehi dalam laman sesawang badan induk akuatik antarabangsa, FINA, mendapati Eropah memiliki perwakilan terbesar dengan sembilan pegawai kesemuanya termasuk seorang dari negara tuan rumah, Great Britain untuk temasya Olimpik London.

"Bagi saya, apa yang penting adalah membuat terjunan yang terbaik bagi meyakinkan juri untuk memberi markah yang terbaik.

"Jika kita lihat dengan barisan juri, memang ada 'kelebihan' untuk penerjun dari benua Eropah, tetapi itu bukan halangan untuk kita," kata Pandelela kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini malam Isnin.

Pandelela serta tujuh penerjun yang lain, perenang negara, Koo Chai Lin, atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean serta Suryani akan berlepas ke London malam Isnin bagi mengalas cabaran di temasya Olimpik yang bermula Jumaat ini.

Tujuh penerjun yang turut serta ialah Bryan Nickson Lomas, Huang Qiang, Yeoh Ken Nee, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee, Traisy Vivien Tukiet dan Leong Mun Yee.

Sementara itu, Suryani, yang kini sedang sarat mengandung lapan bulan, berkata akan berusaha beraksi bagi acara 10m Air Rifle dengan cemerlang dan yakin menggunakan peluang ke Olimpik sebaik-baiknya.

"Saya anggap kejohanan ini seperti pertandingan lain yang pernah saya sertai sebelum ini, saya tidak mahu terlalu memberi tekanan, bagi saya persediaan mental yang cukup mampu mengatasi segalanya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan