Terengganu Dapat Khidmat 'All Blacks' Tubuhkan Akademi Ragbi

Diterbitkan: Sabtu, 21 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal mendapat bantuan daripada kerajaan New Zealand bagi menubuhkan Akademi Ragbi selaras dengan hasrat negeri itu menjadi kuasa sukan ragbi tanah air dan melahirkan pemain negara bertaraf antarabangsa.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin selepas pertemuan dengan wakil kedutaan New Zealand di Kuala Lumpur, di sini, Jumaat.

"Dalam perjumpaan tersebut, kita nampak wakil kedutaan New Zealand itu berminat dan positif membantu menjayakan hasrat kerajaan negeri," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu tertumpu kepada aspek yang mana pasukan New Zealand yang terkenal dengan jolokan 'All Blacks' boleh membantu ke arah pembangunan sukan ragbi di Terengganu termasuk kejurulatihan serta kepakaran teknikal dalam sukan berkenaan.

"Selain itu, New Zealand juga mungkin membantu pemain kita menerusi program penempatan menimba ilmu di sana, antara pasukan ragbi Terengganu dan pasukan ragbi di New Zealand, katanya. Beliau berkata wakil kedutaan New Zealand itu akan memanjangkan perkara tersebut kepada Persatuan Ragbi New Zealand mengenai hasrat kerajaan Terengganu yang mahu memperkasakan sukan berkenaan di negeri ini.

"Apa pun ia baharu bermula dan belum ada keputusan dibuat setakat ini," katanya. Zainal Abidin berkata beliau akan meminta Persatuan Ragbi Terengganu merangka kertas kerja berhubung penubuhan akademi tersebut.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said juga berharap dengan penubuhan akademi tersebut, Terengganu akan muncul kuasa baru dalam sukan ragbi di negara ini pada masa depan.

Skuad ragbi Terengganu pernah memenangi pingat emas dalam dua edisi Sukan Malaysia (Sukma) iaitu pada 2008 ketika negeri itu menjadi tuan rumah dan 2010 di Sukma Melaka. Bagaimanapun, Sukma ke-15 di Pahang baru-baru ini tidak mempertandingkan acara ragbi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan