Azizah Tebus Kekecewaan Raih Dua Emas Di Sukma

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Atlet angkat berat negara Azizah Fadzil menebus kekecewaan selepas gagal layak ke Olimpik dengan meraih dua pingat emas acara snatch dan clean & jerk bagi kategori 53kg wanita pada Sukan Malaysia (Sukma)ke-15, di sini, Rabu.

Azizah yang mewakili Pulau Pinang unggul dalam saingan itu setelah melakukan angkatan seberat 64kg kategori snatch dan 80kg bagi clean & jerk pada acara yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah.

Atlet tuan rumah, Nurul Qistina Mohd Kenali meraih perak dengan angkatan 60kg (snatch) dan 74kg (clean & jerk) manakala Nur Fariesha Irwana Mohd Supian dari Kelantan di tempat ketiga dengan angkatan 59kg (snatch) dan 73kg (clean & jerk).

Namun, Azizah sedikit kecewa apabila gagal dalam percubaan mengangkat bebanan 77kg (snatch) dan 91kg (clean & jerk) untuk memecahkan rekod kejohanan.

"Memang sangat puas hati dapat sumbang pingat emas kepada Pulau Pinang. Tetapi saya kecewa sebab tidak dapat pecah rekod Sukma bagi kedua-dua kategori itu.

"Bagaimanapun, kemenangan hari ini dapat menebus kekecewaan saya selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London," katanya.

Pada Sukan SEA di Indonesia tahun lepas, Azizah, 21, berjaya membuat angkatan seberat 79kg acara snatch dan 97kg bagi clean & jerk.

Sementara itu, Pahang meraih dua pingat emas dan dua perak bagi acara snatch dan clean & jerk kategori 48kg wanita, masing-masing menerusi Rosmah Abdullah dan Siti Zaleha Yusop.

Terengganu meraih dua pingat gangsa menerusi Syamimi Saleh.

Rosmah melakar kejayaan bagi kedua-dua acara itu dengan angkatan 60kg (snatch) dan 68kg (clean & jerk) manakala Siti Zaleha di tempat kedua dengan angkatan 52kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk).

Syamimi yang melakukan angkatan 51kg (snatch) dan 67kg (clean & jerk) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan