Terengganu Akan Terus Lahir Atlet Berbasikal Kompetitif - Sukan Ekstra | mStar

Terengganu Akan Terus Lahir Atlet Berbasikal Kompetitif

Diterbitkan: Ahad, 8 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Terengganu akan terus menjadi tunjang utama lahir atlet berbasikal kompetitif bertaraf antarabangsa.

Ketua Kontinjen Terengganu Sukan Malaysia (Sukma) ke-15, Wan Nawawi Wan Ismail berkata Terengganu sentiasa aktif mencari bakat baru untuk terus mempromosi sukan berbasikal dalam kalangan peminat golongan muda.

"Pasukan berbasikal Terengganu sangat kuat, dan kita sentiasa ada pelapis yang setanding dengan senior mereka.

"Di Terengganu, perkembangan sukan berbasikal ini didedahkan kepada kanak-kanak seawal usia lapan tahun. Kita tidak mahu ketandusan atlet berbakat," katanya.

Wan Nawawi berkata sukan berbasikal kini menjadi sukan popular, dan mahu terus menjadi sukan kegemaran kepada golongan muda di seluruh negara bagi meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang digeruni di seluruh dunia.

"Pada pendapat saya, persatuan sukan negeri Terengganu perlu lebih aktif dalam setiap aktiviti, persatuan kena bergerak baru kita boleh lahirkan atlet yang berpontesi besar dan banyak pilihan," katanya.

Beberapa atlet berbasikal negara kelahiran Terengganu nyata membuktikan kejayaan mereka dalam sukan berbasikal sehingga mewakili negara di temasya sukan Olimpik, London bulan ini.

Mereka terdiri daripada Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha, Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Sementara itu Wan Nawawi berkata pada kejohanan Sukma ke-15 tahun ini, Terengganu menyasarkan kutipan 47 pingat emas menerusi 400 atlet yang bertanding dalam 24 acara bagi mengekalkan kejuaraan kali keempat Sukma.

"Walaupun Adiq Hussainie ke Olimpik, kita optimis menyasarkan tiga pingat emas dalam acara lumba basikal pada Sukma kali ini," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan