Revington Dijangka Kemudi Skuad Hoki Negara Selewatnya Bulan Depan - Sukan Ekstra | mStar

Revington Dijangka Kemudi Skuad Hoki Negara Selewatnya Bulan Depan

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Jurulatih antarabangsa Paul Revington dijangka selewat-lewatnya mengemudi skuad hoki negara pada bulan depan, kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah perjanjian untuk mengambil jurulatih antarabangsa itu sebagai ketua jurulatih dan dibantu bekas pemain negara Arul Selvaraj, masih belum dimeterai lagi.

"Persetujuan bersama telah dibuat secara lisan menerusi perjumpaan yang diaturkan sebelum ini.

"Kita akan mengambil kira berdasarkan gaji dan elaun sebelum kita membuat satu perjanjian dan bila siap nanti kita akan buat majlis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembayaran zakat perniagaan oleh Permodalan Nasional Berhad kepada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) di sini, Rabu.

Menurut Tengku Abdullah, jurulatih berkenaan ketika ini masih belum menyelesaikan kontraknya dengan pasukan kebangsaan Ireland.

"Kita berharap segala urusan pengambilan berkenaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya 1 Ogos depan," titahnya.

Revington dan Arul, sebagai pembantunya, mula menjadi gandingan untuk melatih skuad Afrika Selatan pada 2006 sebelum membimbing skuad Ireland dari 2009 hingga Julai 2012.

Ketika membimbing Afrika Selatan selama tiga tahun, Revington membantu pasukan itu memperbaiki ranking dunia dari 14 kepada tangga ke-10 dan kini pasukan itu layak ke Sukan Olimpik London 2012.

Revington akan menggantikan Tai Beng Hai yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatih MHC dan diberi tugas menyelia program pembangunan remaja.

Revington juga turut memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia FIH' 2011. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan