Pandalela Teruja Dipilih Bawa Jalur Gemilang Di Sukan Olimpik

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pandalela Rinong (kanan) dan Leong Mun Yee ketika memenangi pingat emas acara terjun Sukan Sea Laos 2009.
Pandalela Rinong (kanan) dan Leong Mun Yee ketika memenangi pingat emas acara terjun Sukan Sea Laos 2009.

KUALA LUMPUR: Atlet terjun yang sedang mencipta nama, Pandelela Rinong amat teruja apabila diumum sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian Sukan Olimpik London, 27 Julai depan.

Bagaimanapun, penerjun berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak itu amat merendah diri dengan kepercayaan dan peluang keemasan yang diberikan kepadanya.

"Saya rasa amat gembira dan berbangga apabila dipilih (sebagai pembawa Jalur Gemilang). Saya amat tidak menyangka akan dipilih kerana ada lagi atlet yang lebih sesuai daripada saya," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Pandalela adalah antara atlet yang menjadi sandaran bagi mengakhiri penantian pingat emas untuk Malaysia.

Jumaat lepas, ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengumumkan Pandelela akan diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik London akan berlangsung di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 11 Julai ini.

Pandelela kini berlatih bersama skuad terjun negara ke Sukan Olimpik London di Guangzhou, China dan akan kembali ke tanah air tidak lama lagi sebelum berangkat ke London.

"Kami berlatih di sini (Guangzhou) kerana cuaca yang sama dengan London. Di sini, kami lebih fokus dan latihan dapat dipanjangkan lagi berbanding di Kuala Lumpur," katanya.

Pandelela pernah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Olimpik Belia di Singapura pada 2010, yang menyaksikan beliau meraih dua pingat perak menerusi acara 10 meter platform dan 3 meter papan anjal individu wanita.

Pada temasya Sukan Olimpik London, Pandelela akan mengambil bahagian dalam acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee serta acara 3 meter papan anjal seirama, bersama Cheong Jun Hoong. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan