Pemain Antarabangsa Meriahkan PGM Terengganu Masters

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain golf England Peter Richardson dan Luke Bleumink dari Australia akan mengetuai cabaran pemain antarabangsa pada kejohanan Golf Profesional Malaysia (PGM) Terengganu Masters minggu depan.

Richardson dan Bleumink, yang kini menjadi pendahulu dalam Asian Development Tour (ADT) Order of Merit, sudah pasti akan berusaha habis-habisan untuk memburu kemenangan kedua masing-masing dalam ADT.

Laman web Asian Tour website melaporkan, Richardson, yang menjuarai PGM ADT A'Famosa Masters bulan lepas, dan Bleumink, yang memenangi PGM Johor Masters pada April, adalah antara barisan pemain handalan yang akan beradu kehebatan pada kejohanan ini, yang menawarkan hadiah berjumlah RM220,000.

"Kemenangan itu (di Johor) menjadi perangsang untuk saya dalam menghadapi tahun-tahun akan datang. Ia juga menunjukkan yang saya mampu bermain dengan baik apabila diasak dan pengalaman ini penting bagi musim seterusnya," kata Bleumink, 26, yang dipetik laman web itu.

Sementara itu, R.Nachimuthu, penyandang gelaran juara PGM Order of Merit ketika ini, akan mengetuai cabaran pemain tempatan dan cuba mempertahan gelarannya pada kejohanan kali ini.

Pemain Malaysia lain yang akan menyertai kejohanan ini ialah juara dua kali ADT, S.Siva Chandhran, Sukree Othman dan Shaaban Hussin.

Pusingan keempat ADT 2012 akan berlangsung di Awana Kijal Golf Beach and Spa Resort di Kijal, Terengganu dari 25 hingga 28 Jun.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan