Sukan Layar: Khairul Nizam Berlatih di UK Sebelum Ke Olimpik

Diterbitkan: Sabtu, 16 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelayar negara yang layak ke Sukan Olimpik, Khairul Nizam Mohd Affendy kini berada di United Kingdom bagi menjalani latihan secara berkumpulan bersama-sama beberapa atlet layar negara lain.

Bapanya Mohd Affendy Abdullah berkata Khairul Nizam akan terus berada di sana sehingga Sukan Olimpik bermula dan akan menyertai beberapa kejohanan sebelum temasya sukan terbesar dunia itu membuka tirainya pada 27 Julai.

"Khairul Nizam berlepas ke United Kingdom pada 2 Jun dan dia dilatih oleh jurulatih dari Croatia bersama enam pelayar negara lain," kata Mohd Affendy yang juga Pengurus Besar Persatuan Pelayar Malaysia (MYA) kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Semasa di sana, Khairul Nizam menyertai kejohanan Skandia Sail For Gold Regatta yang berlangsung di Weymouth, dari 4 hingga 9 Jun dan berjaya meraih pingat perak dalam acara laser.

Selain itu, beliau akan menyertai perlumbaan ISAF Sailing World Cup di Kiel, Jerman dan juga European Laser Standard Championship di Perancis.

Mengenai cabaran di Olimpik London, Mohd Affendy berkata ia satu cabaran sukar dengan saingan hebat negara-negara yang bertanding kerana sukan itu merupakan sukan bertaraf tinggi dengan saingan kelayakan daripada lebih 100 pasukan bertaraf dunia.

Khairul Nizam layak ke temasya Olimpik berdasarkan persembahan cemerlangnya pada Kejohanan Laser Standard Dunia di Boltenhagen, Jerman pada Mei lepas dan kali terakhir atlet Malaysia menyertai Sukan Olimpik dalam acara ini ialah empat tahun lepas di Beijing, China menerusi Kevin Lim. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan