Karate: Shaharudin Idam Aksi Akhir Kejohanan Asia

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shaharudin bersama pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Sea tahun lalu.
Shaharudin bersama pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Sea tahun lalu.

PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Kumite Individu Lelaki Sukan Sea 2011, Shaharudin Jamaludin menaruh harapan tinggi mara ke final pada Kejohanan Karate Asia di Uzbekistan dari 14 hingga 17 Julai ini.

Shaharudin,24 tahun menyasarkan mara ke pusingan akhir selepas tahun lalu tewas dalam aksi separuh akhir kepada peserta Pakistan.

"Saya hanya tewas tipis (1-0) kepada peserta Pakistan yang juga juara Asia bagi kategori 67 kg. Misi tahun ini adalah untuk menebus kekecewaan tahun lalu.

"Pun begitu saya sedar, ia bukan tugas mudah dan sebab itu jugalah saya turut membuat 'kerja rumah' dengan meneliti corak permainan peserta Pakistan menerusi video perlawanan terdahulu.

"Dalam masa yang sama, saya turut berhati-hati dengan peserta dari Jepun dan Iran kerana mereka juga antara pencabar yang boleh menghalang misi saya," katanya kepada mStar Online.

Menurut atlet kelahiran Kuala Lumpur ini, persiapan untuk berdepan dengan kejohanan itu berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik.

"Bagi memantapkan permainan, saya juga turut menyertai Kejohanan Kebangsaan di Putrajaya beberapa hari lalu, dan berjaya memenangi pingat emas.

"Ia dapat membantu saya meningkatkan keyakinan diri menjelang kejohanan Asia itu nanti," katanya.

Selain Shaharudin, turut tersenarai pada kejohanan ini ialah R.Loganesha dalam acara kumite bawah (55kg), L.Kunaselan (60kg)dan K. Teagarajan (75kg) dalam kategori lelaki.

Dalam kategori wanita, skuad negara akan diwakili oleh G. Yamini dalam acara kumite bawah 61kg, Jamalliah Jamaludin (68kg ke atas), A. Nisha (55kg) dan Shakila Sani Jefry Krisnan (68kg ke bawah).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan