Angkat Berat: Azizah Sasar Pecah Rekod Kebangsaan Di London

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat wanita negara, Azizah Fadzil menyasarkan untuk memecah rekod kebangsaan pada temasya sukan Olimpik di London pada Julai nanti.

Atlet yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak menafikan bahawa beliau akan menerima cabaran yang lebih hebat apabila perlu menandingi pesaingnya dari negara China, Rusia dan Kazakhstan bagi kategori 53kg wanita.

"Dapat layak ke Olimpik adalah perkara paling manis dalam hidup saya. Saya percaya dengan menyertai sukan terbesar seperti itu, saya dapat banyak pendedahan dan bagi saya itu yang penting untuk meningkat prestasi semasa.

"Saya lebih tumpukan untuk membuat rekod terbaik daripada sebelum ini iaitu 97kg bagi acara Clean & Jerk dan 79kg bagi acara Snatch. Saya sentiasa sasar untuk memecah rekod peribadi dan kebangsaan pada setiap kejohanan terbesar yang saya sertai," katanya di pusat latihan angkat berat Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Jumaat.

Berbaki enam minggu lagi sebelum menggalas cabaran di London, Azizah berkata beliau kini giat menjalani latihan pusat di MSN dan mengikuti program disediakan oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), jurulatih dan MSN.

Beliau juga dinasihati supaya menjaga pemakanan, kesihatan dan perlu berhati-hati ketika menjalani latihan bagi mengelak daripada kecederaan.

"Sekarang ini saya kalau boleh memang mahu elak daripada tercedera, sebab fokus bukan sahaja Olimpik tetapi juga Sukan SEA tahun depan, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun 2014.

"Jurulatih mahu angkatan saya lebih meningkat tiga minggu sebelum kejohanan dan saya kena kekalkan stamina. Sekarang ini, saya banyak lakukan latihan untuk kuatkan otot," kata gadis berusia 21 tahun itu.

Azizah mencipta sejarah dengan menjadi atlet angkat berat wanita Malaysia yang pertama berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas layak secara merit pada Kejohanan Kelayakan Olimpik Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan, April lepas.

Pelajar Sarjana Muda Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga akur untuk melakar kejayaan bukannya mudah dan perlu bijak membahagikan masanya antara pelajaran dan sukan.

Mengimbau penglibatan awalnya dalam sukan angkat berat, Azizah yang merupakan anak kedua daripada lima beradik, terharu apabila ibu bapanya dapat menerima hasrat beliau untuk bergiat aktif dalam sukan itu.

"Saya bukanlah lahir dalam keluarga yang ada latar belakang sukan. Dalam keluarga, saya yang aktif dalam sukan, mula-mula ibu bapa saya susah nak terima, mereka lebih pentingkan pelajaran.

"Setelah melihat kejayaan dan komitmen saya dalam pelajaran, Alhamdullilah dengan berkat dan restu ibu bapa saya, saya hampir melakar kejayaan dalam karier saya," katanya.

Menceritakan tentang minatnya yang mendalam terhadap sukan, Azizah berkata semasa di zaman persekolahan, beliau juga aktif dalam sukan olahraga iaitu lompat tinggi.

"Saya mula aktif dalam bidang angkat berat sejak berusia 16 tahun iaitu ketika dipilih masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, sejak itu jurulatih saya ketika itu Jamil Hashim banyak memberi pendedahan pada saya dalam sukan ini," katanya.

Sepanjang penglibatannya dalam sukan angkat berat itu, Azizah yang pertama kali membawa cabaran dalam persada sukan antarabangsa berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok lima terbaik kategori yang sama di Sukan SEA Jakarta dan Palembang, Indonesia tahun lepas.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan