Sukma 2012: Pahang Sedia Terima Kedatangan Atlet, Pegawai Dari Seluruh Negeri

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-15 Pahang kini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan para atlet dan pegawai dari setiap kontinjen negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Wan Adenan Wan Mamat berkata semua venue untuk 377 acara sukan dan tempat penginapan sudah lengkap serta hanya menunggu masa untuk digunakan.

"Ini kali kedua Pahang menjadi tuan rumah SUKMA dan kita telahpun memperbaiki beberapa kelemahan berdasarkan pengalaman penganjuran SUKMA sebelum ini dan kali ini segala kemudahan adalah yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini, Selasa.

Beliau berkata kejohanan kali ini yang berlangsung dari 7 hingga 16 Julai menawarkan 1,207 pingat membabitkan 24 acara sukan membabitkan 9,000 atlet termasuk pegawai.

Menurutnya walaupun Pahang tidak menyasarkan untuk menjadi juara SUKMA, namun pihaknya berazam untuk menjadi penganjur terbaik dengan segala kemudahan sukan baru yang telah dibangunkan di negeri itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan