New Zealand Ungguli Carta Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah - Sukan Ekstra | mStar

New Zealand Ungguli Carta Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: New Zealand terus mengungguli carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-21 setelah menewaskan Argentina 5-2 di sini, Jumaat.

Walaupun ketinggalan 0-1 kepada Argentina yang memperolehi gol seawal minit ke-3 melalui Lucas Cammareri, pemain New Zealand tetap tenang dan mengatur serangan demi serangan bagi mengatasi lawan.

Phil Burrows berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-32 selepas menyempurnakan hantaran Simon Child dan kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik bermula babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi New Zealand lebih bernasib baik apabila Richard Petherick menolak masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan mendahului perlawanan 2-1.

Argentina kemudiannya menyamakan kedudukan 2-2 melalui Lucas Vila pada minit ke-53 tetapi tidak bertahan lama apabila pemain lawan Andy Hayward melakukan jaringan pada minit ke-57 menjadikan kedudukan 3-2. Dua gol lagi dijaringkan Shay Neal pada minit ke-59 dan Arun Panchia minit ke-64 dan kejayaan itu terus meletakkan pasukan New Zealand ditangga teratas carta pada hari kedua kejohanan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan hari ini, India menewaskan Korea 2-1.

India mendahului perlawanan pada minit ke-12 melalui jaringan Sandeep Singh manakala Korea menyamakan kedudukan hasil jaringan Nam Hyun Wo pada minit ke-66.

Gol kemenangan India dijaringkan SK Uthappa pada minit ke 70. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan