Selangor Sasar 50 Pingat Emas Pada Sukma Ke-15

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Selangor mensasarkan 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, Julai ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata, sekiranya kontinjen Selangor melepasi sasaran itu dengan tambahan lima emas, maka negeri itu boleh menjadi juara, selapas kali terakhir pada edisi 2006 di Kedah.

"Kalau lebih daripada itu (sasaran 50 pingat emas) merupakan satu kelebihan kepada kita dan kalau dapat 55 pingat emas kita yakin boleh jadi juara," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Menteri Besar Selangor bersama kontinjen Sukma Selangor, di sini Khamis.

Beliau berkata, Selangor akan menghantar kontinjen seramai 650 atlet dan pegawai dan akan mengambil bahagian dalam 24 jenis sukan pada temasya kali ini.

Ahmad Yunus, yang juga ketua kontinjen Selangor, berkata bagi menyuntik semangat semua pihak yang terlibat dalam Sukma 2012, kerajaan negeri menyediakan insentif iaitu RM3,500 bagi pingat emas manakala pengurusan pasukan serta persatuan sukan masing-masing RM1,000.

Bagi pingat perak, atlet akan menerima RM2,000, pengurusan pasukan dan persatuan masing-masing RM750 manakala bagi pingat gangsa, atlet akan menerima RM1,000 sementara pengurusan pasukan dan persatuan masing-masing RM500.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif yang akan dibayar secara terus, hanya kepada pemenang pingat emas iaitu sebanyak RM300.

Sukma 2012 yang berlangsung dari 7 hingga 16 Julai, akan diadakan di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Sukan Malaysia , Dr Ahmad Yunus Hairi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan