Malaysia Mungkin Senarai Tiga Pelumba Lebuh Raya Ke Sukan Olimpik

Diterbitkan: Khamis, 17 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menyenaraikan tiga pelumba basikal lebuh raya, termasuk pelumba simpanan, ke Sukan Olimpik London pada Julai, kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abdul Wahab.

Keputusan mengenai penyertaan Malaysia pada temasya itu bagaimanapun akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan PKBM, pertengahan bulan depan.

Setakat ini, PKBM menyenarai pendek lima pelumba lebuh raya untuk menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu.

Mereka ialah Mohd Zamri Salleh dan adiknya Mohd Harrif Salleh yang kini bersama Terengganu Cycling Team (TSG); Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Anuar Manan (Champion System) dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling).

Mengulas lanjut, Abu Samah berkata ketua jurulatih berbasikal negara John Beasley akan turut dipanggil menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan itu.

"Kami juga akan meminta laporan pelumba-pelumba berkenaan daripada pengurusan pasukan TSG, Champion System dan Drapac. Daripada maklumat yang diterima, jawatankuasa berkenaan akan membuat keputusan," katanya.

Pada November 2011, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan senarai penyertaan secara merit bagi acara lebuh raya lelaki untuk Sukan Olimpik London. Malaysia adalah antara empat negara Asia selain Jepun, Hong Kong dan Indonesia yang dipilih secara merit.

Penyertaan itu merupakan peluang kedua untuk skuad berbasikal lebuh raya negara beraksi di Sukan Olimpik selepas edisi 1972 di Munich, Jerman.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad meminta supaya nama pelumba yang bakal membawa cabaran negara dalam acara lebuh raya di Sukan Olimpik London tidak dijadikan bahan spekulasi.

"Walaupun sebelum ini diuar-uarkan bahawa Mohamad Adiq Hussainie dan Mohd Harrif bakal dipilih, kita ada lima pelumba yang disenarai pendek.

"Sebenarnya peluang untuk pelumba-pelumba itu masih terbuka. Kalau kita sudah sebut-nyebut nama pelumba tertentu sebelum keputusan dibuat, bagaimana perasaan pelumba lain," katanya.

Beliau berkata pelumba yang dipilih dijadual menjalani latihan bersama skuad berbasikal trek kebangsaan di Belgium sebelum berlepas ke London. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan