SMK Penang Free Wakil Malaysia Ke Indonesia

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free (SMK Penang Free) menewaskan wakil dari Kelantan, Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, 3-0 pada aksi akhir Piala Perdana Manchester United (MUPC) peringkat kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Sabtu.

Biarpun keadaan padang agak basah selepas hujan turun sejak perlawanan peringkat kumpulan berlangsung, kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi mantap, namun kekebalan benteng pertahanan wakil dari Pulau Pinang itu berjaya menyekat asakan pasukan SMK Putera.

Dengan kemenangan ini, SMK Penang Free bakal membawa cabaran negara ke Peringkat Akhir Serantau MUPC di Bandung, Indonesia sebelum melayakkan diri ke peringkat akhir sedunia di Shanghai, China pada Ogos ini.

Edisi tahun ini menyaksikan sejumlah 10 pasukan terbaik bawah 15 tahun yang terdiri daripada juara dan naib juara dari peringkat akhir lima zon (Utara, Selatan, Timur, Tengah, Timur Malaysia) bertanding merebut tempat ke aksi serantau ini.

Antara pasukan yang beraksi termasuk SMK Penang Free, SMK Clifford, SMK Putera, KAFA, SMK Dato' Peter Majuntin, Tabs Tuaran, SMK Tunku Ampuan Dara, SMK Dato' Mansur, SSWP Titiwangsa dan Sekolah Victoria.

"MUPC merupakan satu pentas usaha bersama Nike dan Manchester United ke arah pembangunan bola sepak dari akar umbi. Bagi kami, ia merupakan satu peluang keemasan kepada semua remaja untuk mempamerkan bakat ke peringkat tertinggi, " jelas Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Joan Yeoh.

Menurut Joan, program ini telah banyak memberi hasil positif dengan lahirnya beberapa pemain muda yang berjaya menyarung jersi negara termasuk Nazmi Faiz , Irfan Fazail dan Syazwan Tajudin yang kini beraksi dalam skuad Harimau Muda.

Pada aksi 2010, MSS Kedah muncul juara MUPC dan turut berjaya mewakili negara ke peringkat akhir sedunia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan