Hoki Piala Asia: Malaysia Mara Ke Akhir Bertemu Pakistan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Malaysia mara ke perlawananan akhir Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia setelah mengalahkan juara bertahan India 2-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini Khamis.

Malaysia akan berdepan dengan Pakistan pada final Ahad ini.

Pada perlawanan separuh akhir kedua malam Khamis, Pakistan membelasah Korea Selatan 6-1.

Malaysia, selaku juara Kumpulan A, menghasilkan gol pada babak kedua perlawanan menerusi penyerang Faizal Saari pada minit ke-40, hasil pukulan sudut penalti dan jaringan padang oleh Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-66.

Skuad negara bimbingan Dhamaraj Abdullah memulakan saingan dengan rentak perlahan dan berhati-hati untuk cuba menebusi bentang pertahanan India yang ketat.

Bagaimanapun, gerakan tanpa melakukan kesilapan hanya membuahkan satu pukulan sudut bagi kedua-dua pasukan yang gagal disempurnakan sebelum siren berhenti rehat dibunyikan.

Malaysia, yang mengekalkan rekod tanpa kalah pada peringkat kumpulan, kembali dengan rentak agresif sebaik sahaja bermula babak kedua dan lima minit kemudian Faizal membuka tirai jaringan.

Hasil gerakan pukulan sudut penalti, Faizal melakukan tolakan tinggi ke penjuru kanan gawang gol yang tidak mampu dijangkau oleh penjaga gol India, Sushant Tirkey.

Jaringan tersebut merancakkan tempo perlawanan dengan India bangkit melakukan serangan ke arah pintu gol tuan rumah dan menerusi dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-50 dan 60, hampir menyamakan kedudukan.

Terdahulu, pada minit ke-51, ketua pasukan India Akashdeep Singh turut memperolehi peluang keemasan menerusi satu pukulan kencang dari jarak satu meter namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol negara Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri yang bertindak cemerlang membaca gerakan lawan.

Mohd Syamin memperolehi gol kedua yang menempah tiket ke perlawanan akhir setelah berlaku pergelutan di hadapan pintu gol India.

Dhamaraj berkata kemenangan itu amat bermakna dalam misi memburu kejuaraan sulung pada kejohanan itu.

"Saya akui tugas kita agak sukar kerana corak bertahan pasukan lawan namun selepas jaringan pertama, kita yakin dalam mencapai kemenangan kerana pasukan lawan akan keluar mencari gol dan terbukti hasilnya kita memperolehi jaringan gol kedua," katanya.

Jurulatih India, Baljit Singh Saini berkata Malaysia berjaya menyempurnakan peluang keemasan dalam menghasilkan jaringan sedangkan anak buahnya gagal membuat penyudahan walaupun mempunyai peluang terutama pada separuh masa kedua.

Sementara itu, Pakistan mendahului Korea Selatan 3-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Muhammad Irfan pada mnit ke-11 dan Muhammad Dilber pada minit ke-13 dan ke-15.

Pakistan menambah tiga lagi jaringan dalam tempoh lima minit pada babak kedua menerusi Ali Shan (minit ke-60), Muhammad Suleiman (minit ke-61) dan Muhammad Tousiq pada minit ke-64.

Gol tunggal Korea Selatan dijaringkan oleh Seung Ho Im pada minit ke-46.

Kesemua pasukan yang layak ke separuh akhir berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Piala Remaja Dunia di New Dehhi, India, tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan