Isamuddin Ketuai Barisan Petinju Terengganu Ke Sukma 2012

Diterbitkan: Khamis, 3 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pemenang pingat gangsa Sukan Malaysia (Sukma) 2010, Isamuddin Afif Mat Zaid akan mengetuai barisan sembilan petinju Terengganu ke Sukma 2012 di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 16 Julai ini.

Jurulatih Terengganu Ghazali Awang berkata Isamuddin boleh menjadi idola dan penyuntik semangat kepada pasukan negeri yang mana semua petinju lain pertama kali beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Isamuddin yang menang gangsa pada edisi 2010 dalam kategori 49kg akan menyertai acara sama kali ini, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata Terengganu meletakkan sasaran untuk meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada Sukma 2012.

Bagi menghadapi temasya tersebut, katanya petinju negeri akan turut menjalani latihan di Thailand bagi memperbaiki prestasi mereka.

Beliau berkata kesemua peninju itu adalah atlet Unit Sukan Berprestasi Tinggi Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, yang diharap dapat mengharumkan nama negeri itu pada masa depan.

Katanya tjuh petinju pasukan kini menjalani latihan intensif di pusat latihan tinju negeri di Besut manakala dua lagi di Pusat Serantau MSN di Johor.

Dua petinju yang kini berada di Johor ialah Mohd Shahrul Nizam Che Ne yang akan beraksi dalam kategori 52kg dan Mohd Hafizzudin Hakim Mat Zahari (46kg).

Tujuh lagi petinju ialah Isamuddin (49kg), Mohamad Amsyar Jusoh (56kg), Wan Abdullah Wan Ibrahim (60kg), Nik Mohd Akbar Shafie (64kg), Mohamad Supian Abdullah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan