Sukma: Terengganu Berazam Pertahan Kejuaraan Untuk Tahun Keempat

Diterbitkan: Khamis, 26 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kontinjen Terengganu optimis mempertahankan kejuaraan temasya Sukan Malaysia (Sukma) bagi kali keempat berturut-turut pada Sukma ke-15 yang akan berlangsung di Pahang selama 10 hari mulai 7 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Rozi Mamat berkata walaupun dilihat sukar namun kontinjen negeri itu akan berusaha sedaya upaya bagi mencapai matlamat itu.

"Sebenarnya kita telah buat persiapan awal iaitu sebaik sahaja selesai kejohanan Sukma di Kuala Lumpur tahun lepas. Kita yakin dengan penyertaan 600 atlet, Terengganu mampu mengulangi pencapaiannya untuk kali keempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kunjungan hormat dan jemputan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-badan NGO Pahang Datuk Mohd Shafie Abdul Aziz bersama rombongan wakil ahli Sukma Pahang 2012 di sini, Khamis.

Rozi berkata walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun beliau yakin kontinjen Terengganu tidak patah semangat dan mampu meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Pahang Rose Shamsul Abdul Razak, ketika ditemui berkata kejohanan Sukma di Pahang akan melibatkan tiga daerah utama iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh.

Mengulas acara kenu yang tidak dipertandingkan pada kejohanan kali ini, Rose Shamsul berkata 24 acara dipertandingkan dengan lima daripadanya adalah acara pilihan penganjur.

"Acara kenu adalah acara pilihan. Jadi mana-mana negeri yang menjadi tuan rumah, mereka akan pilih acara yang boleh memberi sumbangan paling banyak pingat kepada tuan rumah," katanya.

Beliau berkata lima acara pilihan yang dipertandingkan itu adalah golf, ekuestrian, petanque, tinju dan bola tampar. Sebanyak 24 acara akan dipertandingkan dengan menawarkan sebanyak 1,171 pingat iaitu masing-masing 348 pingat emas dan perak manakala selebihnya gangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan