Atlet Paralimpik Juga Perlu Pendedahan Ilmu Sains Sukan

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga Orang Kelainan Upaya (OKU) juga perlu menguasai ilmu sains sukan sama seperti atlet normal sekiranya mereka mahu menjadi atlet bertaraf profesional, kata Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan, Persatuan Sukan Olahraga Paralimpik Malaysia Ahmad Omar.

Beliau berkata biarpun bergelar atlet paralimpik, mereka juga perlu didedahkan dengan ilmu sains sukan baik daripada segi latihan, pemakanan dan aspek lain yang mampu membantu mereka.

"Adalah sesuatu yang penting bagi setiap atlet memperolehi pengetahuan tersebut kerana ianya amat berguna dan dapat membantu mereka ketika beraksi dalam apa jua kejohanan," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Ahmad yang juga naib presiden Persatuan Sukan Olahraga Paralimpik Malaysia berkata kebanyakan daripada atlet paralimpik negara tidak mendapat pendedahan ilmu sains sukan secukupnya berbanding dengan atlet normal.

"Saya harap jurulatih yang melatih atlet paralimpik prihatin akan perkara ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata usaha untuk mencari bakat-bakat baru dalam sukan olahraga perlu diperhebatkan dan menyedari keperluan tersebut, pihaknya turut membantu Majlis Sukan Negara (MSN) mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi.

"Diharap dengan usaha tersebut, negara tidak akan berdepan dengan masalah ketandusan atlet paralimpik pada masa depan," katanya.

Ahmad berkata usaha yang dilakukan oleh cawangan paralimpik MSN dalam melahirkan bakat-bakat baru sukan paralimpik adalah tindakan terpuji, namun begitu persatuan sukan dan badan bukan kerajaan (NG0) perlu membantu bagi menjayakan usaha tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan