Azizulhasni Yakin Raih Pingat Di London

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pelumba berbasikal trek Azizul Hasni Awang berkata beliau yakin mampu meraih pingat dalam Sukan Olimpik London kelak berdasarkan prestasinya yang begitu baik sekarang.

Anak kelahiran Dungun itu berkata Sukan Olimpik di Beijing pada 2008 merupakan penyertaannya untuk menimba pengalaman dan bukan bagi mendapatkan pingat.

"Tetapi kali ini (Olimpik London) memang saya sasar pingat, lebih-lebih lagi pingat emas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif khas anak Terengganu ke Olimpik London 2012 di sini.

Insentif itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Menurut Azizul, secara peribadi beliau akan cuba memecahkan dominasi sukan badminton yang sering membawa pulang pingat di acara sukan paling berprestij itu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba berbasikal trek yang akan mengiringi Azizul Hasni ke sukan Olimpik, Fatehah Mustapha turut melahirkan hasrat sama.

Beliau berkata pelumba dari negara Itali merupakan pencabar utama dalam mengejar pingat emas di sukan itu.

"Apapun saya akan cuba sedaya mungkin untuk membawa pulang pingat nanti, saya bersyukur memandangkan inilah kali pertama saya menyertai sukan itu," kata anak kelahiran Kuala Berang itu.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan