Louis Oosthuizen Juara Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 15 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan terus menunjukkann prestasi mantap dengan merangkul kejuaraan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2012 dengan kelebihan tiga pukulan.

Pemain berusia 29 tahun itu menjulang Trofi Seagram, sekali gus menebus kekecewaan apabila kalah kepada pemain Amerika Syarikat, Bubba Watson pada 'playoff' pada US Masters di Augusta National, minggu lepas.

Oosthuizen melengkapkan pusingan akhir dengan empat bawah par 68 untuk melakarkan jumlah 17 bawah par 271 selepas empat pusingan.

Kejayaan itu membawa hadiah wang tunai US$416,660 (kira-kira RM1.3 juta) serta trofi yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oosthuizen menjadi pemain kedua dari Afrika Selatan muncul juara kejohanan tahunan itu Harold Henning pada 1966.

"Saya sedikit terkejut kerana fikirkan saya akan keletihan (selepas bermain 26 lubang). Saya bermain baik dan perlawanan sedikit mudah.

"Minggu ini baik bagi saya. Permainan saya naik turun pagi ini (untuk menyudahkan pusingan ketiga) tetapi dapat menyelesaikannya sebanyak 18 lubang," kata juara Terbuka British 2010.

"Saya fikir kemenangan dalam Terbuka British telah membantu saya bermain sampai ke peringkat ini. Saya telah bekerja keras sedikit bersama jurulatih untuk bermain mengikut apa yang sepatutnya," kata Oosthuizen, sambil menambah bahawa kemenangan itu memberi semangat untuk beliau beraksi pada kejohanan terbesar yang akan datang.

Mengekori Oosthuizen dengan ketinggalan tiga pukulan Stephen Gallacher dari Scotland dengan jumlah bagi empat hari, 14 di bawah par 274 dan dia meraih hadiah US$277,770 (RM849,850).

"Saya bergembira kerana dapat melakukan beberapa birdie sepanjang minggu...bermain cantik, begitu baik. Ia hanya satu pertarungan. Cuaca sangat panas," kata Gallacher.

Sementara itu, tiga pemain berkongsi kedudukan selepas mengumpul jumlah sama bagi empat hari, 12 di bawah par 276.

Mereka ialah Danny Willett dari England (69-69-67-71), David Lipsky dari Amerika Syarikat (70-67-69-70) dan Cabrera-Bello, Sepanyol (67-72-66-71).

Pemain tunggal Malaysia, Shaaban Hussin mernamatkan saingan di tempat ke-57 bersama empat pemain lain dengan dua di bawah par 290 dan masing-masing menerima hadiah US$7,250 (RM22,181).

"Saya bermain baik tetapi melakukan empat atau tiga kesalahan pada lubang 14, satu dan tiga. Secara jujur, fikiran saya begitu letih. Kami mengikut masa dan saya cuba bermain pantas, jadi ia mengganggu permainan saya," katanya.

Shaaban telah bermain baik beberapa minggu kebelakangan ini dengan muncul naib juara Kejohanan PGM Clearwater Classic di Ipoh dan tempat ke-13 pada ISPS Handa Singapore Classic pada siri Jelajah Asia.

Beliau akan menyertai Indonesian Masters minggu depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan