Sukma: Pahang Sasar Enam Emas Daripada Memanah, Perahu Layar, Tenpin Boling

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pahang mensasarkan enam pingat emas menerusi acara memanah, perahu layar dan tenpin boling pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di negeri ini pada Julai depan.

Penyelaras Sukan Memanah, Perahu Layar dan Tenpin Bowling, Majlis Sukan Pahang, Norsuhaini Ibrahim berkata, bagi acara memanah, kontinjen Pahang bakal diwakili 16 atlet yang terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita.

"Sebanyak 24 pingat emas ditawarkan bagi acara memanah dan kita mensasarkan dua pingat emas pada acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Padang Utama Politeknik Sultan Ahmad Shah di sini," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata semua atlet kini giat menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 16 Julai depan.

"Pasukan memanah Pahang kini menjalani latihan di Pusat Latihan Memanah di UiTM, Jengka, dan mereka akan menyertai Kejohanan Karnival Remaja Kebangsaan di Polisas, Semambu pada 23 hingga 27 Mei ini sebagai persediaan menghadapi Sukma nanti," katanya.

Bagi acara perahu layar pula, seramai 16 atlet terlibat dan pihaknya juga mensasarkan dua pingat emas bagi kategori optimist berpasukan wanita dan lelaki.

Acara berkenaan dijadual berlangsung di Pusat Rekreasi Air Balok.

"Para atlet kita kini menjalani latihan di Pusat Rekreasi Air Balok sebagai persiapan menghadapi Sukma," katanya.

Sementara itu bagi acara tenpin boling pula, beliau berkata dua pingat emas turut disasarkan bagi acara pasukan campuran dan individu lelaki.

Katanya, persiapan bagi 12 atlet yang terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan bawah 21 tahun itu kini berjalan lancar.

"Pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, semua atlet kita menjalani sesi latihan bermula jam 5.30 hingga 7.30 petang dengan dipantau oleh jurulatih berpengalaman," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan