KBS Bersikap Terbuka Dalam Pemilihan Teraju Persatuan Sukan

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan bersikap terbuka terhadap pemilihan peneraju persatuan sukan, sama ada melibatkan kerabat diraja atau ahli politik asalkan mereka mampu menyumbang kepada pembangunan sukan di negara ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Razali Ibrahim berkata, persepsi penglibatan golongan istana dan ahli politik hanya membawa kesan buruk kepada persatuan, perlu dibetulkan.

"Banyak persatuan sukan yang diterajui oleh kerabat diraja atau ahli politik mempunyai rekod yang lebih baik daripada dikendalikan oleh orang biasa. Apa yang penting, dalam sukan, jangan berpolitik," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha beberapa ahli jawatankuasa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang meminta Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Shahidan Kassim pada mesyuarat agung tahunan kesatuan itu, akhir bulan ini.

Tunku Ismail Idris juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak negeri Johor (PBNJ).

Razali mengakui, pembabitan golongan istana dalam menerajui persatuan sukan sebelum ini menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang ramai.

Ketika ini, dua persatuan yang dipimpin oleh golongan istana ialah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah selaku presiden dan anakandanya Tengku Abdullah sebagai timbalan presiden.

Tengku Abdullah juga merupakan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Razali yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak berkata, masyarakat sebenarnya tidak memahami peranan yang dimainkan oleh kerabat diraja tersebut.

"Presiden FAM contohnya, banyak menyumbang kepada dana bola sepak. Bola sepak merupakan sukan yang memerlukan perbelanjaan yang besar, dengan beberapa liga berlangsung sepanjang tahun, begitu juga perlawanan di luar negara yang memerlukan bajet yang besar.

Katanya, di bawah pimpinan Sultan Ahmad Shah, FAM juga tidak menghadapi masalah kewangan.

Razali berkata, sebaliknya banyak persatuan yang diterajui orang biasa yang menghadapi masalah kewangan yang serius disebabkan presidennya tidak mampu menarik penaja untuk membantu persatuan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang bersetuju dengan pendapat Razali berkata MHC sebelum diterajui oleh Tengku Abdullah berdepan masalah kewangan yang serius. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan