Pandelela Janji Persembahan Terbaik Pada Olimpik London

Diterbitkan: Rabu, 28 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penerjun elit negara Pandelela Rinong yakin kecederaan belakangnya akan pulih sebelum Sukan Olimpik London, dan bertekad memberi persembahan terbaik bagi meraih pingat untuk negara.

Gadis berketurunan Bidayuh berusia 19 tahun itu, yang mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia di Beijing baru-baru ini, berkata beliau turut mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Ini kali kedua Pandelela mengambil bahagian pada temasya sukan terbesar dunia itu, dan berjaya melayakkan diri dalam tiga acara iaitu 3 meter papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong, 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee.

Kali pertama pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu beraksi pada temasya sukan tersebut ialah di Beijing 2008.

"Jurulatih (Yang Zhuliang) mencadangkan saya menyertai ketiga-tiga acara tersebut memandangkan tiada atlet yang boleh menggantikan tempat saya, jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik pada kesemua acara itu," kata atlet dari Sarawak itu kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara syarikat telekomunikasi terbesar negara Maxis Berhad dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk penajaan komunikasi kontinjen negara ke London di Wisma MOM, Rabu.

Sementara itu, Mun Yee yang turut hadir berkata beliau tidak mahu meletakkan sasaran awal untuk memenangi pingat pada Olimpik nanti kerana persembahannya tidak konsisten dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.

Gadis berusia 29 tahun dari Perak itu, yang bakal membuat penampilan keempat secara berturut-turut di Sukan Olimpik berkata setakat ini, beliau menyertai dua kejohanan terjun siri dunia iaitu di Dubai dan Beijing.

"Jadi, saya mungkin akan sertai dua lagi siri dua iaitu di Moscow (Rusia) dan di Mexico untuk memantapkan lagi teknik terjunan," katanya.

Selain Pandelela dan Mun Yee, atlet terjun negara yang layak ke London ialah Traisy Vivien Tukiet (10 meter platform individu), Cheong Jun Hoong (3 meter papan anjal dan seirama) serta Wendy Ng Yan Yee (3 meter papan anjal individu).

Turut layak Bryan Nickson Lomas (10 meter platform individu, 3 meter papan anjal individu dan seirama), Yeoh Ken Nee (3 meter papan anjal individu) dan Huang Qiang (3 meter papan anjal seirama). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan