Memartabatkan Keperluan Bersukan Golongan OKU

Diterbitkan: Rabu, 28 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak meminggirkan keperluan bersukan di kalangan orang kelainan upaya (OKU) dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan aktif bersukan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata misalnya menerusi program Sukan Untuk Semua, atlet paralimpik turut menikmati kemudahan dan program yang diatur sama seperti atlet normal.

"Sebagai atlet negara, mereka layak untuk menerima kemudahan dan bantuan yang sama seperti yang diterima atlet normal, kerana mereka turut sama berjuang mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Pihak kerajaan menerusi KBS begitu komited untuk melahirkan lebih ramai atlet paralimpik bagi memastikan bahawa negara tidak ketandusan atlet paralimpik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan menerusi KBS bagi membangunkan sukan paralimpik dapat dilihat menerusi projek Pusat Paralimpik Negara yang terletak di Kampung Pandan yang dijangka siap tidak lama lagi.

"Apabila siapnya Pusat Paralimpik di Kampung Pandan nanti, Malaysia akan menjadi negara pertama di rantau ini yang mempunyai kemudahan sukan yang mesra OKU.

"Kompleks yang dibina dengan kos RM40 juta itu dilengkapi dengan kemudahan penginapan, kafeteria, gimnasium, lapang memanah, dewan serbaguna dan juga dewan latihan yang akan digunakan sepenuhnya untuk atlet paralimpik kebangsaan dan juga atlet paralimpik negeri," jelasnya.

Beliau berkata dalam usaha untuk memperkasakan sukan paralimpik, Malaysia banyak mempelajari perkara baru daripada negara China yang merupakan gergasi baru arena sukan paralimpik dunia.

Ahmad Shabery berkata dunia sekarang menilai sesebuah negara maju berdasarkan bagaimana negara tersebut mengambil berat kepada golongan OKU yang dilihat terpinggir.

"Di Malaysia, kita semakin hampir ke arah tersebut apabila dapat dilihat pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam memajukan sukan OKU dan hasilnya dapat dilihat apabila kontinjen paralimpik negara berjaya menduduki tangga ketiga kedudukan pingat pada Temasya Sukan Para Asean 2011 di Solo, Indonesia.

"Ini menunjukan bahawa atlet paralimpik negara semakin maju ke depan dan mampu pergi ke peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.

Pada kejohanan di Solo itu, kontinjen negara berjaya membawa pulang 51 pingat emas, 35 perak dan 42 gangsa.

Namun pada masa yang sama, Ahmad Shabery menekankan bahawa tumpuan pembangunan sukan negara di kalangan OKU bukan hanya tertumpu kepada atlet paralimpik tetapi meliputi golongan OKU secara keseluruhan BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan