Jurulatih Sepenuh Masa Untuk Skuad Lebuh Raya Wanita

Diterbitkan: Rabu, 28 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) merancang untuk melantik jurulatih sepenuh masa bagi melatih skuad pelumba lebuh raya wanita negara menjelang beberapa temasya besar terutama Sukan Sea di Myanmar tahun depan.

Presiden MNCF Abu Samah Abd Wahab berkata peningkatan prestasi skuad wanita kebelakangan ini memerlukan mereka mendapat bimbingan sepenuh masa daripada jurulatih profesional.

"Kami di MNCF merasakan sudah sampai masanya untuk melantik seorang jurulatih wanita sepenuh masa untuk membolehkan kita meletak sasaran besar pada beberapa kejohanan besar khususnya Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Kita juga dalam proses mengenal pasti beberapa nama termasuk seorang bekas pelumba terkenal dari Terengganu dan MNCF sangat serius untuk lantik seorang jurulatih wanita sepenuh masa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Selasa.

Beliau berkata skuad lebuh raya wanita kini sudah mula meraih impak rentetan sering menjalani latihan bersama pasukan lebuh raya lelaki dan kelab benua, Terengganu Cycling Team (TSG).

"Terbaru, skuad lebuh raya wanita yang menyertai Diwase Cup Tournament 2012 di Vietnam awal bulan ini yang dibimbing oleh Mahazir (Hamad) memperolehi pencapaian sangat membanggakan, sekalipun mereka bukannya dilatih sepenuh masa oleh Mahazir," katanya.

Beliau berkata beberapa pelumba wanita negara sering berlatih bersama pelumba TSG di Terengganu dan sebahagiannya menerima bimbingan peribadi jurulatih kebangsaan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan.

"Malaysia kini mempunyai sekurang-kurangnya 15 pelumba yang hampir setanding dari segi kualiti kayuhan antaranya Zahraa Anuawar, Muslihah Salim, Nurul Syuhada Zainal, Masziyaton Mohd Radzi, Mariana Mohamad, Suryani Mohamad dan Jupha Somnet," katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) menyasarkan skuad lebuh raya wanita meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan Sea di Myanmar nanti.

MNCF juga akan memantau prestasi beberapa pelumba wanita pada Kejohanan Jelajah Thailand 2012 bermula di Chiangmai pada 7 April ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan