20 Pasukan Sertai Jelajah 1Malaysia 2012

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di negara ini, Jelajah 1Malaysia yang akan berlangsung dari 8 hingga 13 Mei depan hanya akan melibatkan 20 pasukan.

"Jumlah penyertaan kali ini kita hadkan kepada 20 pasukan sahaja, 10 pasukan dari luar negara dan 10 dari Malaysia. Pengurangan jumlah penyertaan kali ini bertujuan untuk mengurangkan kos penganjuran," kata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamad pada sidang akhbar di kementerian itu di sini, Khamis.

Katanya, kos penganjuran perlumbaan berstatus UCI 2.2 itu dalam lingkungan RM2 juta.

Menurut beliau setakat ini, 13 pasukan termasuk juara bertahan, Tabriz Petrochemical dari Iran telah mengesahkan penyertaan mereka.

Pasukan benua lain yang telah mengesahkan penyertaan mereka ialah Genesys Pro Cycling (Australia), Aisan Racing Team (Jepun), OCBC Singapore (Singapura) dan Terengganu Cycling Team (Malaysia).

Selain itu, turut menyertai edisi kali ini ialah Team LBC Cycling (pasukan kelab dari Filipina), Persekutuan Berbasikal Kazakhstan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Mohid berkata baki tujuh lagi pasukan akan diumumkan selepas tarikh tutup penyertaan pada 12 April depan.

"Kita perlu membuat pemilihan pasukan dengan teliti supaya bersesuaian dengan kategori perlumbaan ini, khususnya pasukan dari luar negara. Boleh dikatakan kita ada 15 pasukan yang memohon dan kita perlu teliti untuk memilih. Untuk pasukan tempatan kita mungkin tidak mempunyai masalah," katanya.

Edisi ke-48 perlumbaan itu melibatkan sebanyak enam peringkat dengan jarak kayuhan sejauh 1,023km.

J1M 2012 akan bermula dari Stadium Merdeka, Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, Perak sejauh 161.5km, diikuti Bandar Baru Kampar-Kulim, Kedah (201.8km), Kulim-Felda Chuping, Perlis (168.8km), Kangar-Sungai Petani, Kedah (98.5km), Sungai Petani-Ipoh (193.4km) dan Ipoh-Dataran Merdeka (199.5km).

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Wahab berkata untuk perlumbaan J1M kali ini, pelumba-pelumba skuad kebangsaan tidak akan bertanding mewakili skuad kebangsaan tetapi sebaliknya mereka akan bertanding mewakili negeri masing-masing.

"Melalui perlumbaan Jelajah 1Malaysia ini, kita tidak turunkan pasukan kebangsaan dan sebaliknya mereka mewakili negeri masing-masing. Perlumbaan ini adalah untuk ketengahkan pelumba-pelumba tempatan dan boleh mencungkil bakat-bakat baru," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Samah berkata PKBM juga akan memasukkan acara ujian masa individu dalam Grand Prix Kebangsaan yang akan dimulakan dengan siri 1 di Alor Setar, Kedah pada 17 dan 18 Mac ini.

"Kita akur dengan kelemahan pelumba kita dalam acara ini. Melalui Grand Prix Kebangsaan kita boleh menggilap pelumba-pelumba dalam acara ini.

"Kita juga mahu mencari pelumba yang berkeupayaan bertanding dalam acara sehari untuk kita pertimbangkan bagi menghadapi Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan