Terengganu Mampu Jadi Destinasi Sukan Lasak Pacuan Empat Roda

Diterbitkan: Sabtu, 10 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu mampu menjadi destinasi tumpuan penggemar sukan pacuan empat roda kerana negeri ini memiliki bentuk muka bumi yang mencabar, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada Sabtu.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan peserta dari dalam dan luar negara terhadap beberapa kejohanan yang dianjur Terengganu termasuk 'International Rainforest Challenge' (IRC).

"IRC telah dianjurkan pada tahun 2005, 2007, 2008 dan 2011 di Terengganu di mana ia mendapat sambutan hebat peserta tempatan mahupun luar negara yang meminati sukan lasak ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian 'International Terengganu Starhall 4x4 Challenge 2012', di sini.

Ahmad berkata penganjuran acara sedemikian juga mampu menimbulkan minat anak muda Terengganu khususnya, untuk menceburi sukan tersebut sekali gus dapat melahirkan atlet yang digeruni seperti dalam bidang sukan berbasikal sekarang.

Katanya kejayaan anak Terengganu pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi 2012 adalah bukti usaha kerajaan negeri untuk melahirkan atlet berkaliber membuahkan hasil.

"Mereka bukan setakat dinobatkan sebagai juara kampung malah mampu menyaingi kehebatan di persada global," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang turut hadir, berkata kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM25,000.

Sebanyak 70 kenderaan pacuan empat roda termasuk dari Thailand, Indonesia, Rusia dan Jerman menyertai kejohanan empat hari itu, katanya menambah, program tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti awal Tahun Melawat Terengganu 2013. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan