Zulkifli Galas Cabaran Ke London

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemanah elit paralimpik negara, Zulkifli Mat Zin dipilih untuk mengisi kekosongan dalam skuad memanah paralimpik negara ke temasya Paralimpik London yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 9 September ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrusahar Yusuf berkata, Zulkifli dipilih untuk menggantikan tempat Allahyarham Mohd Salam Sidek setelah beliau berjaya melepasi mata kelayakan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Mohd Salam meninggal dunia pada November lepas akibat penyakit jantung dan beliau pernah menduduki ranking pertama dunia serta layak ke London secara merit sebelum meninggal dunia.

"MSN harap Zulkifli dapat beraksi cemerlang dan menghayati sepenuhnya perjuangan Mohd Salam bagi meraih pingat emas negara di London nanti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Mohd Safrusahar berkata, beliau yakin dengan kemampuan Zulkifli kerana atlet tersebut pernah beraksi bersama Mohd Salam di temasya Para Asia di Gungzhou, China pada 2010 dan temasya Paralimpik Beijing, China pada 2008.

Selain daripada Zulkifli dua lagi yang layak ke London ialah Mohd Zafi Rahman dan Hasihin Sanawi yang akan beraksi dalam kategori recurve ARW2 (berkerusi roda).

Beliau berkata, trio memanah paralimpik negara akan mengikuti beberapa kejohanan pemanas badan sebagai persediaan sebelum beraksi di London.

"Sebagai persediaan mereka (trio memanah paralimpik) akan beraksi di Kejohanan Memanah Para Ranking Dunia 2012 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mac ini," katanya.

Mohd Safrusahar berkata, beliau berharap Zulkifli, Mohd Zafi dan Hasihin dapat menggunakan sebaiknya peluang ini bagi memantapkan aksi masing-masing sebelum ke London. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan