ISN Cadang Anjur Seminar Antidoping

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) bercadang menganjurkan seminar khas bagi memberikan penjelasan berhubung antidoping kepada semua anggota masyarakat sukan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata dua pakar dari Agensi Anti Doping Dunia (WADA) akan dijemput bagi memberi penerangan seperti prosedur yang perlu diambil apabila atlet terlibat dalam kes antidoping.

"Penganjuran seminar seperti ini adalah satu keperluan memandangkan bahawa baru-baru ini dua atlet negara didapati positif mengambil dadah terlarang ketika beraksi di Sukan SEA Indonesia pada Nov lepas," katanya, Khamis.

Dr Ramlan berkata ISN bercadang untuk menganjurkan seminar tersebut pada bulan Mei depan namun belum mendapat tarikh yang sesuai.

"Semua pihak termasuk atlet, badan pentadbir sukan, persatuan sukan dan media seharusnya mendapat maklumat dan penerangan yang secukupnya tentang perkara yang berkaitan dengan isu antidoping agar mereka lebih bersedia pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata ISN memandang serius hal berkaitan isu antidoping lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan atlet negara.

Disember lalu, dua atlet negara yang meraih pingat pada temasya Sukan Sea Indonesia menerusi acara 4x400m dan angkat berat, didapati positif ujian doping bagi kedua-dua sample A dan B.

Acara olahraga meraih enam emas, dua perak dan tiga gangsa manakala angkat berat membawa pulang satu perak dan dua gangsa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan