Yunus Bimbang T-Team Kian Goyah

Diterbitkan: Sabtu, 3 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Jurulatih pasukan bola sepak T-Team, Yunus Alif mengakui prestasi skuad bimbingannya itu semakin merundum sejak kebelakangan ini.

Katanya beliau mendapati anak buahnya seolah-olah leka sehingga sering kehilangan bola dalam kawalan ketika beraksi.

"Saya bimbang jika berlanjutan fenomena ini boleh menggagalkan impian pasukan T-Team untuk mengejar juara liga musim ini," katanya .

Kebimbangan Yunus berasas kerana pemain-pemain T-Team dilihat banyak melakukan kesilapan mudah yang tidak wajar berlaku ketika pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam saingan Liga Super malam tadi.

"Walaupun kita menang 1-0 tetapi saya masih tidak berpuas hati dalam banyak hal dari sudut permainan," katanya.

Dengan keputusan malam tadi, T-Team yang sebelum ini di tangga kelima melonjak ke tempat kedua dengan 16 mata di belakang Kelantan yang masih mendahului saingan Liga Super dengan kelebihan satu mata.

Menyaksikan persembahan anak buahnya, Yunus berkata tugas beliau kini semakin mencabar untuk membetulkan segala keadaan dan kelemahan dalam pasukannya bagi memastikan keutuhan pasukan tidak terjejas.

T-Team akan menghadapi perlawanan yang lebih mencabar dan semua pemain harus memberi perhatian serius jika mereka mahu kekal berada dalam kelompok teratas liga, katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan